Thursday, July 31, 2008

PUSRAWI NAFI LAPORAN

Oleh SHARILFUDDIN SAARI

KUALA LUMPUR 30 Julai – Hospital Pusrawi hari ini menafikan terdapat seorang doktor pakarnya telah menjalankan pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun lalu.

Sebaliknya, pihak hospital itu menegaskan, Dr. Muhamad Osman Abdul Hamid yang ditemui oleh Mohd. Saiful hanya seorang doktor biasa malah beliau tidak pernah menjalankan pemeriksaan aduan sodomi (liwat) ke atas Mohd. Saiful.

Hospital Pusrawi juga menafikan bahawa ia pernah mengeluarkan sebarang maklumat rasmi kepada sesiapa berhubung laporan perubatan terhadap Mohd. Saiful.

Pada masa sama, pihak hospital itu akan menyiasat ketulenan dan kesahihan satu salinan dokumen yang didakwa sebagai laporan perubatan Mohd. Saiful. Dokumen itu disiarkan dalam Internet serta dimuatkan dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Kamaruddin Ahmad pada sidang akhbarnya di sini petang ini memberitahu, Dr. Muhamad Osman hanya merupakan pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kemalangan dan Kecemasan pada hari Mohd. Saiful datang ke hospital itu yang terletak di Jalan Tun Razak di sini.

“Beliau (Dr. Muhamad Osman) bukan seorang doktor pakar... dia menasihatkan pesakit, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya diperiksa lanjut oleh doktor hospital kerajaan.

“Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan sodomi (ke atas Mohd. Saiful),” tegasnya.

Sebelum ini, sebuah portal Internet mendedahkan satu laporan perubatan yang kononnya dikeluarkan Hospital Pusrawi menyatakan bahawa tiada kesan liwat ke atas Mohd. Saiful, 23, ketika dia datang ke hospital itu kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun lalu.

Menurut laporan portal berita itu, Mohd. Saiful ke Hospital Pusrawi kerana mengadu mengalami ‘tenesmus’ iaitu kesukaran dan kesakitan ketika membuang air besar tetapi dia kemudian diminta oleh Dr. Muhamad Osman pergi ke hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Laporan sebelum ini menyebut, Dr. Muhamad Osman merupakan seorang doktor yang berasal dari Myanmar dan baru bertugas di hospital itu tahun lalu.

Dr. Muhamad Osman dikatakan pernah berkhidmat dengan Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) selama tiga tahun antara 1993 dan 1995. Anwar pernah terlibat dengan RISEAP.

Ekoran ‘kebocoran laporan perubatan’ itu, Anwar dalam satu sidang akhbarnya kelmarin menggesa supaya semua siasatan dakwaan liwat ke atas dirinya digugurkan memandangkan laporan perubatan Hospital Pusrawi memperlihatkan Mohd. Saiful tidak pernah diliwat.

Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan di pondok polis HKL mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelumnya.

Berikutan itu, selepas polis menyoal siasat lebih 20 orang saksi, pada 16 Julai lalu, Anwar telah ditahan tidak jauh dari rumahnya untuk disoal siasat sebagai suspek dalam kes tersebut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, iaitu berhubung jenayah seks luar tabii.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Kamaruddin berkata, Mohd. Saiful datang ke Hospital Pusrawi pada 28 Jun mengadu sakit perut lalu diperiksa oleh seorang doktor wanita.

Katanya, selepas dia mengadu mengalami kesakitan di duburnya ketika membuang air besar, dia kemudian dirujuk pula kepada Dr. Muhamad Osman.

“Semasa pemeriksaan dijalankan (oleh Dr. Muhamad Osman) terhadap Mohd. Saiful di bahagian tertentu (dubur), pesakit mengadu pula bahawa dia telah diliwat.

“Oleh itu, doktor berkenaan terus memintanya merujuk kes itu kepada hospital kerajaan kerana ia berkaitan kes jenayah dan (siasatan) polis,” katanya.

Dr. Kamaruddin menjelaskan, dari segi amalan kedoktoran, pemeriksaan mana-mana kes berkaitan liwat perlu dijalankan oleh doktor pakar kerana ia tidak boleh ditentukan melalui kesan luaran saja.

“Kalau tiada kesan pendarahan, koyak atau nanah dan sebagainya pada dubur, bukan semestinya tidak berlaku liwat.

“Pun begitu, jika terjadi sebaliknya (pendarahan), ia juga tidak bermakna berlaku liwat kerana mungkin disebabkan kanser atau pendarahan dalaman.

“Kes liwat perlu menjalani pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) agar ditentusahkan,” katanya.

Ditanya mengenai salinan laporan perubatan Hospital Pusrawi yang kini disiarkan dalam Internet, Dr. Kamaruddin enggan mengesahkan laporan tersebut sebagai tulen tetapi berkata, “laporan itu seakan-akan asli.”

Terdahulu, dalam sidang akhbar yang sama, Pengurus Besar Hospital Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob berkata, pihaknya akan menyiasat mengenai kesahihan laporan perubatan Mohd. Saiful yang kini tersiar dalam Internet.

Sambil menegaskan bahawa laporan perubatan asal ada dalam simpanannya, beliau tidak menolak kemungkinan apa yang disiarkan itu adalah salinan fotostat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes itu yang akan diketuai oleh pengurus perjawatan hospital berkenaan.

“Kita jangka siasatan selesai seminggu lagi dan selepas itu baru kita fikir tindakan yang sesuai,” ujarnya.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Dr. Muhamad Osman yang bertugas di hospital itu sejak Januari lalu kini telah digantung tugas.

Sebaliknya, jelas beliau, doktor itu memohon bercuti selama seminggu sejak Jumaat lalu dan menyambung cutinya seminggu lagi.

No comments: