Thursday, July 31, 2008

"SAYA TIDAK AKAN LETAK JAWATAN"

Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 30 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) menafikan bahawa beliau akan meletak jawatan ekoran pelbagai tekanan yang diterimanya.

Sebaliknya, Zaid menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan terbaru pihak tertentu yang mahukan beliau meletak jawatan daripada Kabinet.

Beliau mengakui sejak beberapa minggu ini menerima tekanan daripada orang tertentu daripada kerajaan dan parti pembangkang supaya berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan kesungguhannya dalam mereformasikan sistem kehakiman dan keadilan negara.

''Sesetengah orang kata pandangan saya ini (dalam mereformasikan sistem kehakiman) mirip kepada pembangkang... banyak merugikan orang Melayu manakala pihak pembangkang pula kata saya kena buat lebih daripada itu.

"Tapi pendirian saya, selagi Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mempunyai keyakinan kepada saya, saya tidak ada masalah... saya tidak akan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Zaid ditanya mengenai kenyataannya yang dilaporkan dalam sebuah portal berita hari ini bahawa banyak pihak mahukan beliau meletak jawatan berikutan komitmennya dalam membantu kerajaan mereformasikan sistem kehakiman.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan terhadap Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana mengkritik kerajaan termasuk terhadap Perdana Menteri secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Abdullah yang membentuk Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 18 Mac lalu mengumumkan pelantikan Zaid sebagai menteri yang berperanan membantu membuat cadangan bagi perubahan dan reformasi sistem kehakiman negara.

No comments: