APABILA menyaksikan rakaman persembahan dan membaca berita Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat, saya terkejut melihat aksi tidak senonoh dan tidak beradab yang tidak sesuai ditontoni oleh kaum wanita, kanak-kanak dan tok-tok Lebai.
Aksi londeh seluar, tunjuk pusat dan tunjuk punggung yang dipamerkan, sudah tentu mencemar matlamat perhimpunan hendak menurunkan harga barang keperluan.
Mereka memprotes persembahan Ella dan Mas Idayu sempena satu perlawanan bola sepak yang dikatakan agak lucah tetapi sebaliknya lebih lucah lagi mempamerkan punggung lelaki.
Apabila diamati senikata dan laungan artis tertentu jemputan Pakatan Rakyat, mereka mewakili kumpulan yang hilang arah.
Mengapakah orang-orang Pas dalam Pakatan Rakyat membenarkan persembahan liar itu sebaliknya membantah konsert Ella dan Mas Idayu?
Inilah yang selalu disebut ' kecelaruan berfikir' atau 'fikiran bercelaru.' Pakatan Rakyat seharusnya peka dengan nilai budaya dan agama. Untuk jadi pemimpin kita bukan berkendakkan undi dan sokongan sahaja tetapi meletakkan nilai-nilai yang baik di tempatnya dan menyingkirkan nilai-nilai buruk walaupun nilai-nilai buruk itu dianuti oleh penyokong-penyokong kita.
Perhimpunan itu tiada nilai apa-apa, hanya majlis menghentam kerajaan dan kepimpinan negara. Warga kota janganlah terikut-ikut dengan perhimpunan-perhimpunan seperti itu yang diadakan dari siang sampai malam.
Lebih baik masa yang ada digunakan untuk rekreasi dan riadah bersama keluarga. Adalah lebih baik masa yang terluang digunakan untuk meningkatkan ekonomi atau mengeratkan silaturahim antara anggota masyarakat. Jauhkanlah pertunjukkan 'londeh' seluar dan 'tunjuk punggung' yang menjijikkan itu.
Kenaikan harga barang harus ditangani dengan usaha berjimat cermat dan meningkatkan pendapatan kita, bukan terjerit-jerit sepanjang hari menyaksikan pertunjukkan yang memualkan. Pakatan Rakyat bukan pembangkang di beberapa negeri termasuk Selangor, ia sudah menjadi kerajaan.
Ia tidak perlu lagi terjerit-jerit di perhimpunan seperti itu. Tanggungjawab Pakatan ialah memakmurkan rakyat sesuai dengan janji-janji pilihan raya yang mereka taburkan.
Janganlah asyik bersyarah sahaja, jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan.
DR. GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur
Friday, July 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment