Wednesday, July 9, 2008

NAIB CANSELOR IPTA PERLU BERWIBAWA

Oleh Pemikir Negara

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin, berkata kerajaan sentiasa memantau prestasi institusi pengajian tinggi awam agar setanding dengan IPT di luar negara.

Ini termasuk mengadakan penstrukturan semula pentadbiran IPTA serta mempertingkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan menerusi pusat setempat.

Usaha juga dijalankan untuk merapatkan hubungan IPTA dengan sektor industri bagi menggalakkan IPTA membabitkan diri dalam bidang yang boleh dikomersialkan.

Wira berpendapat sebagai kerajaan yang bertanggungjawab sudah menjadi tugas mereka untuk memastikan IPTA di negara ini dipandang tinggi dan menjadi pilihan utama pelajar dalam serta luar negara.

Oleh itu, pemantauan yang berterusan dan keberanian untuk menstrukturkan pentadbiran yang lemah perlu dilaksanakan segera demi kepentingan negara.

Sesebuah IPTA akan dipandang tinggi jika ia berjaya menyakinkan rakyat dari segi prestasi akademik, penyelidikan dan pembangunan, tenaga pensyarah yang berwibawa dan diterajui oleh naib canselor yang tahu apa yang perlu dibuatnya.

Kita tidak mahu naib canselor IPTA tidak mempunyai halatuju yang jelas dan dipandang rendah oleh masyarakat pendidik serta pelajarnya. Kita juga tidak mahu naib canselor dilantik kerana atas faktor tertentu seperti desakan politik atau faktor lain yang tidak perlu dilayan sama sekali.

Malaysia tidak kekurangan ahli akademik berwibawa yang telah membuat kajian penting di peringkat antarabangsa.

Wira berpendapat pengurusan tertinggi IPTA tidak perlu membuat "window dressing" dengan melantik syarikat perunding untuk menutup kelemahan peneraju mereka di mata masyarakat terutama mereka yang tidak tahu cerita sebenar.

No comments: