Saturday, July 12, 2008

LANGKAH PAKLAH KUKUHKAN UMNO

KUALA LUMPUR 11 Julai - MCA menyifatkan cadangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mampu mengukuhkan UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, persefahaman itu bukan sahaja dapat memastikan UMNO berada dalam keadaan kukuh malah turut menstabilkan politik menjelang pemilihan parti itu Disember ini.

''MCA mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri dan tindakan itu turut diterima baik oleh rakyat,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keenam Persatuan Pediatrik Pergigian Asia di sini hari ini.

Mengenai usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah yang diserahkan oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen semalam, Tiong Lai berkata, MCA mengutuk perbuatan itu.

Bagaimanapun, kata Tiong Lai, tindakan itu tidak akan menimbulkan masalah kerana Perdana Menteri kini mendapat sokongan padu ahli-ahli Parlimen.

Menurut beliau, Abdullah juga mendapat sambutan dan sokongan kuat daripada rakyat dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tindakan Wan Azizah itu, kata Tiong Lai, dilihat sebagai usaha parti pembangkang untuk terus melemahkan kestabilan negara dengan mempolitikkan semua isu yang timbul.

Beliau berkata, pembangkang melakukan semua itu semata-mata untuk kepentingan peribadi mereka.

''Rakyat sudah jemu dengan tindak tanduk parti pembangkang dan mereka mahu semua orang termasuk pemimpin politik kembali bekerja bagi memastikan ekonomi terus dijana dan kesejahteraan rakyat terjamin,'' katanya.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, keputusan Abdullah itu mencerminkan jiwa besar beliau.

Sambil berkata pelan peralihan kuasa seperti itu memang menjadi tradisi UMNO sejak sekian lama, Samy Vellu yakin dalam tempoh dua tahun ini, Abdullah akan dapat menyempurnakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat sebagaimana dibuktikan ketika ini.

''Oleh itu, sokongan dan kepercayaan perlu terus diberi kepada beliau bagi menunaikan amanah itu,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

1 comment:

bwh said...

Apasal lah benak dan bangang sangat manusia dalam BN ni, dah tentulah si najib tu "mother of all evils", maka kalau dia jd PM lagi jahanamlah negara ini, diaorang boleh sokong buta2.

Itulah dia kalau tuhan dah tutup mata hati dan cabut iman beginilah rupanya manusia dalam umno dan BN, sesat sesesat2nya dulu, kini dan selama2nya.