Wednesday, July 23, 2008

MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN KARPAL

KUALA LUMPUR 23 Julai - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan menolak permohonan peguam pemerhati keluarga Altantuya Shaariibuu dan kerajaan Mongolia untuk memanggil semula penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan Timbalan Perdana Menteri memberikan keterangan dalam perbicaraan itu.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin dalam keputusannya berpendapat bahawa permohonan yang dikemukakan Karpal Singh sepatutnya dibuat oleh pihak yang terlibat dalam perbicaraan iaitu, Timbalan Pendakwa Raya dan pihak peguam bela tertuduh.

Hakim itu menegaskan peguam pemerhati sebenarnya terkeluar daripada senarai pihak yang terlibat dalam prosiding.

Terdahulunya, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Karpal yang telah memfailkan notis usul pada Isnin lalu.

Melalui notis usul tersebut Karpal mengusulkan kepada mahkamah memerintahkan agar mahkamah mengguna kuasa budibicara yang diperuntukkan di bawah Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi memanggil semula Balasubramaniam iaitu saksi pertama pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Selain memohon Timbalan Perdana Menteri dipanggil sebagai saksi, Karpal turut menyatakan dalam notis itu agar Deputi Supritendan Polis (DSP), Musa Safri; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Brickfields, DSP Idris (Idris Abdul Karim); serta peguam bela dan peguam cara, Dhiren Rene Norendra untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan itu.

Bagi tujuan tersebut, Hakim Mohd. Zaki mendengar terlebih dahulu hujah bantahan awal Tun Majid yang berpendapat bahawa akuan bersumpah Balasubramaniam pada peringkat ini kandungannya terjumlah kepada keterangan cakap mulut (hearsay).

Tambahan pula kata Tun Majid, sepatutnya orang yang mengikrarkan akuan tersebut (Balasubramaniam) mestilah mengikrarkan afidavit untuk menyokong permohonan Karpal.

"Tambahan pula akuan bersumpah bukanlah dokumen awam dan sebab itulah kami membantah," kata Tun Majid.

Karpal tetap bertegas mengatakan beliau mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berhujah atas kapasiti selaku peguam pemerhati kepada keluarga Altantuya Shaariibuu dan kerajaan Mongolia.

Ketika mendengar hujah, Hakim Mohd. Zaki sempat mengingatkan pihak-pihak terbabit bahawa kandungan kedua-dua akuan bersumpah itu sehingga kini masih dalam siasatan sehubungan itu kandungannya pada peringkat ini tidak relevan.

Karpal Singh ketika ditemui di luar mahkamah sejurus selepas keputusan dibuat memberitahu, beliau sedang menimbangkan untuk mengemukakan pula rayuan berhubung perkara itu ke Mahkamah Rayuan. - Utusan.

No comments: