Saturday, July 12, 2008

BPR TAHAN REMAN KP IMIGRESEN

PUTRAJAYA 11 Julai – Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan reman Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah mempercepatkan proses pengeluaran visa pekerja asing.

Wahid, 55, dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dekat sini pukul 3 petang ini diiringi oleh enam pegawai BPR.

Mereka beredar dari pekarangan mahkamah kira-kira setengah jam kemudian selepas berjaya mendapatkan perintah tahanan reman.

Majistret Mazuliana Abdul Rashid membenarkan permohonan BPR untuk menahan Wahid sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Wahid yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 1 Oktober 2006 ditahan oleh BPR di rumahnya di Jalan Duta, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.20 malam tadi.

Siasatan awal BPR menunjukkan ada pegawai di Jabatan Imigresen dipercayai menerima rasuah sebanyak RM350 bagi setiap pekerja asing sebagai ganjaran mempercepatkan kelulusan permohonan pengeluaran visa.

Kes tersebut terbongkar berikutan aduan yang diterima BPR pada awal bulan ini yang mendakwa seorang ejen meminta bayaran RM350 daripada setiap pekerja asing untuk diberikan kepada pegawai kanan di Jabatan Imigresen.

Pada sidang akhbar di sini petang ini, BPR mendedahkan ia telah menahan tujuh orang termasuk tiga yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan rasuah dalam pengeluaran visa untuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Bahagian Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, kesemua mereka kini direman antara empat hingga lima hari untuk membantu siasatan.

Dalam operasi yang bermula sejak Selasa lalu hingga malam tadi, BPR turut merampas wang tunai hampir RM500,000 serta sejumlah besar visa yang dipanggil calling visa.

“Ketujuh-tujuh mereka yang berusia dalam lingkungan umur antara 35 hingga 64 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997,” katanya.

Menurut Mohd. Shukri, kebanyakan yang ditahan adalah ahli perniagaan yang berperanan sebagai orang tengah.

Kata beliau, BPR telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang memohon mendapatkan pekerja asing itu serta individu yang terlibat dalam kes tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti negara pekerja asing berkenaan dan sektor pekerjaan yang terlibat.

Ditanya mengenai jumlah ‘calling visa’ yang dirampas, beliau hanya menjawab: “Banyaklah, banyak... saya tahu berapa jumlahnya.”

Mohd. Shukri menjelaskan, syarikat-syarikat yang terbabit dalam kes itu menjalankan perniagaan membawa masuk pekerja asing.

Beliau turut menyeru syarikat-syarikat dan individu yang terlibat dalam kes itu supaya tampil memberi kerjasama kepada BPR bagi melicinkan siasatan.

No comments: