Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR 17 Julai – Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam akuan bersumpah yang diikrarkan Jun lalu.
Dia yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan yang sama.
Raja Petra, 58, bagaimanapun enggan membuat sebarang pengakuan dengan alasan ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya cacat dan mala fide (niat jahat) selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nazran Mohd. Sham.
Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa memfitnah Rosmah, Abdul Aziz dan Norhayati dengan membuat tohmahan dalam akuan bersumpah yang diikrarkan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun lalu.
Setiap pertuduhan disertakan dengan lampiran iaitu akuan bersumpah Raja Petra dengan bahagian-bahagian yang mengaitkan ketiga-tiganya digariskan.
Dia yang merupakan individu kedua didakwa di bawah seksyen tersebut selepas penyanyi Datuk Sharifah Aini pada tahun 2005, dibawa ke mahkamah pada pukul 11.10 pagi ini selepas sejam disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Jika sabit kesalahan, Raja Petra boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis yang mengendalikan pendakwaan memohon agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicara bersama serta menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam J. Chandra yang mewakili Raja Petra bagaimanapun memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon peribadi tanpa penjamin mengikut Seksyen 387(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Kata Chandra, anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya dan tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 9.58 pagi sedangkan pegawai penyiasat hanya tiba pada pukul 10.31 pagi.
Nazran kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu.
Terdahulu, suasana tegang apabila Raja Petra bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati selepas Fernandis menerima keengganannya membuat pengakuan sebagai pengakuan tidak bersalah mengikut Seksyen 173(C) Kanun Prosedur Jenayah.
‘‘Saya enggan membuat sebarang pengakuan, itu maklum balas saya, bukan saya mengaku tidak bersalah. Pendakwa tidak sepatutnya membuat interpretasi.
‘‘Saya bagi alasan dan saya boleh menjelaskannya. Kalau peguam saya bersetuju dengan pihak pendakwa, saya akan pecat dia dan mewakili diri sendiri,’’ katanya.
Raja Petra sekali lagi naik berang apabila Chandra memohon agar jumlah jaminan yang ditawarkan dikurangkan kepada RM5,000 sedangkan dia mahu dibebaskan dengan bon peribadi tanpa penjamin.
‘‘Saya ingin memecat peguam saya dan mewakili diri sendiri. Tiada sebarang keperluan untuk jaminan dikenakan kerana saya memberikan kerjasama sepenuhnya dan sentiasa hadir ke mahkamah,’’ tegasnya.
Tindakan Raja Petra yang bercakap dengan laju dan nada yang agak tinggi bagaimanapun ditegur oleh Nazran.
‘‘Kalau kamu tidak hormat saya tidak mengapa, tapi tolong hormat mahkamah. Beri saya peluang untuk catat apa yang kamu cakap,’’ katanya.
Berikutan keadaan itu, Chandra memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan dia berbincang serta mendapat arahan lanjut daripada Raja Petra.
Prosiding yang berlangsung dari pukul 12 tengahari berakhir pada pukul 2.25 petang dan Raja Petra dilihat keluar dari lokap kira-kira pukul 3.50 petang selepas isterinya, Marina Lee Abdullah mengemukakan wang jaminan.
Pada 6 Mei lalu, Raja Petra didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana menerbitkan satu artikel membabitkan pembunuhan Altantuya di laman webnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment