Saturday, July 12, 2008

TAWARAN GUAN ENG DITOLAK

PULAU PINANG 11 Julai - Bekas Exco Pelancongan dan Pembangunan Alam Sekitar Pulau Pinang, Teng Chang Yeow hari ini menolak pelawaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menganggotai Jawatankuasa Pemandu Warisan Negeri.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk memastikan semua syarat penyenaraian Georgetown sebagai Kawasan Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dipatuhi.

Sambil berterima kasih atas pelawaan itu, Chang Yeow berkata, beliau lebih suka bertindak sebagai 'orang luar' terutama membuat pemantauan untuk memastikan kerajaan negeri mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan dan mengekalkan status Georgetown sebagai kawasan warisan.

Kata beliau, bantahan yang dibangkitkan banyak pihak semasa pentadbiran terdahulu telah membolehkan pihaknya membuat perancangan yang terbaik untuk Georgetown yang kini mendapat pengiktirafan UNESCO.

''Episod lobi-melobi telah berakhir dan kejayaan Georgetown mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia yang baru amat menggembirakan.

''Saya percaya, saya dan kepimpinan terdahulu telah melakukan yang terbaik dalam melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan negeri di sini hari ini.

Kelmarin, Guan Eng mengumumkan pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa pemandu warisan negeri untuk memastikan semua syarat penyenaraian Georgetown sebagai Kawasan Warisan Dunia UNESCO dipatuhi.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh beliau sendiri dengan sekretariatnya diketuai Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Mohd. Zaki Ibrahim dan panel kajian semula teknikal diketuai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Zainal Rahim Seman.

Jelas Chang Yeow, usaha selama 12 tahun oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Amanah Warisan Pulau Pinang, MPPP dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain melobi untuk mendapatkan status itu patut dipuji.

''Dengan mandat yang telah diberi, saya berharap kerajaan negeri sedia ada dapat memulakan program pemuliharaan dan mempromosikan kawasan Georgetown yang tinggi dengan nilai sejarahnya itu.

''Satu badan bebas akan kami tubuhkan untuk memantau dan memastikan program yang dilaksanakan jawatankuasa pemandu warisan negeri bertepatan dengan matlamat dan mengikut syarat yang ditetapkan pertubuhan itu,'' katanya.

No comments: