Thursday, July 17, 2008

MEMBETULKAN PERSEPSI DALAM MENGHAYATI DASAR PEMBERIAN BIASISWA (JPA)

oleh : Perry

Menteri di JPM Dato` Seri Nazri Aziz , menjelaskan dalam sesi parlimen hari ini bahawa kerajaan telah memperkenalkan satu skim baru mulai tahun 2007 dalam pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan prestasi dalam peperiksaan. Skim pemberian biasiswa ini akan hanya memperhitungkan pencapaian kecemerlangan semata-mata tanpa mengira latar belakang pelajar-pelajar termasuk keturunan, agama, dan pendapatan ibubapa.

Penjelasan tersebut disambut baik oleh kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat yang terdiri daripada Pakatan Rakyat. Namun ahli-ahli Yang Berhormat dari Barisan Nasional minta penjelasan dari Menteri samada pemberian biasiswa untuk pelajar-pelajar cemerlang ini akan menjejaskan pemberian kepada pelajar-pelajar bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri JPM juga menjelaskan bahawa pemberian biasiswa khas ini tidak menjejaskan pemberian biasiswa yang biasa diberikan kepada pelajar-pelajar bumiputera. Kerajaan amat sedar tentang Perlembagaan Persekutuan di mana terdapat peruntukan khas untuk memberi hak keistimewaan terhadap kaum Melayu. Peruntukan khas keistimewaan ini akan terus dilaksanakan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu tanpa sebarang kompromi dalam syarat-syarat yang terkandung dalam perlembagaan.

Namun demikian kerajaan juga membuat keputusan untuk meningkatkan nisbah pemberian biasiswa kepada nisbah 55:45. Nisbah ini ditentukan berdasarkan nisbah penduduk rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan ini kerajaan memperuntukan RM 91 juta untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dato` Seri Nazri Aziz menolak dakwaan bahawa kerajaan memberi biasiswa dengan nisbah 80% untuk pelajar bumiputera dan 20% untuk bukan bumiputera, malah kerajaan mengamalkan dasar yang adil kepada semua kaum asalkan berkelayakan tanpa mengira latarbelakangnya.

Sehubungan dengan ini Dato` Seri Nazri Aziz meminta semua MP-MP membetulkan persepsi masing-masing terhadap hasrat murni kerajaan dalam memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Rakyat Malaysia terutamanya warga bukan melayu mengalu-alukankan penjelasan Dato` Seri Nazri Aziz malah dasar pemberian biasiswa yang di laksanakan mulai tahun ini. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan (JPA) dilihat adil malah akan membantu melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu tanpa perasaan prejudis kaum di masa akan datang. Syabas diucapkan kepada Dato` Seri Nazri Aziz dalam memberanikan diri dalam pelaksanaan dasar yang bersifat adil dan saksama.

No comments: