Tuesday, July 29, 2008

TIADA DESAKAN TIDAK BERTANDING

KUANTAN 28 Julai - Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan beliau untuk tidak bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Disember ini bukan atas desakan sesiapa.

Beliau menegaskan, keputusan itu sebaliknya dibuat bagi mengelakkan dirinya dituduh menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen ketika menghadiri majlis tertentu dalam kementeriannya.

Beliau juga berbuat demikian kerana mahu memberi contoh kepada mereka yang mengetuai pelbagai jabatan di bawah kementerian supaya tidak menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.

”Saya kekal dengan keputusan tidak bertanding untuk jawatan ahli MT dalam pemilihan akan datang, tak ada desakan.

”Saya buat begini sebab saya nak jadi contoh, kalau saya sebagai Menteri Penerangan tidak bertanding, tidak mengggunakan kedudukan saya, jadi saya minta supaya jentera saya di peringkat bawah juga boleh mencontohi saya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada anggota-anggota Majlis Perundingan Belia daerah Kemaman di Cherating dekat sini malam tadi.

Ahmad Shabery ditanya mengenai pemilihan parti hujung tahun ini yang menyaksikan beberapa pemimpin UMNO menawarkan diri untuk merebut jawatan sebagai naib presiden dan ahli MT.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya mempunyai banyak jabatan yang terlibat dalam program penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan kepada segenap lapisan rakyat termasuk ahli UMNO.

Pada masa yang sama, beliau sendiri terdedah dengan kerja penerangan dan kadangkala bercampur-aduk antara kerja kementerian dan parti, malah ada kalanya bertemu ketua cawangan dan penduduk kampung.

Sehubungan itu, katanya, beliau memilih jalan tengah untuk tidak menawarkan diri merebut sebarang jawatan pada pemilihan parti supaya segala program yang dihadiri tidak disalahertikan.

”Saya bimbang ada pihak yang menyalahtafsirkan saya mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan untuk mempromosikan diri dalam program kementerian.

”Lebih baik saya bersifat neutral supaya semua program Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) serta Jabatan Penerangan tidak dilihat untuk mempromosikan diri saya,” katanya.

Beliau turut mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu UMNO mengambil kira pandangan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sebelum bermuzakarah dengan Pas.

Menurutnya, Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari perkara itu sejak awal lagi.

”Saya juga yakin Perdana Menteri akan berbincang dengan parti-parti komponen BN terutama MCA, MIC dan Parti Gerakan sebelum muzakarah dengan Pas diadakan,” ujarnya.

No comments: