oleh : ATH
MB Terengganu tiba-tiba mencetuskan kontroversi apabila bercadang membeli Mercedes E200 Kompressor sebanyak 14 buah yang kesemuanya bernilai RM3.43. Besar belanjanya tu. Mengapa tidak beli Proton Perdana?
Hujah MB mudah je. Hujah pertamanya, Mercedes lebih menjimatkan dari membeli Proton Perdana. Di mana logiknya? Sedangkan jika membeli Perdana Eksekutif yang bernilai sekitar RM100,000 sebuah (tanpa cukai), maka harga keseluruhan untuk 14 buah Proton Perdana hanya RM1.4 juta. Jauh jimatnya tu.
Hujah keduanya, kos penyelenggaraan Perdana untuk tempoh 3 tahun (36 bulan) menelan RM50,000. Apakah Mecerdes tidak perlu penyelenggaraan langsung untuk tempoh tersebut.
Hujah ketiga MB terengganu, pembelian kereta tidak melibatkan wang dari royalti minyak. Ini adalah hujah dangkal. Dari mana sekali pun wang yang digunakan oleh MB Terengganu, pokoknya ia bertentangan dengan amalan jimat cermat, terutamanya ketika negara sedang dihimpit beberapa isu ekonomi.
Apakah MB Terengganu mahu bersikap seperti ’ketam mengajar anak berjalan’? Seruan kerajaan hari ini meminta rakyat berjimat cermat dan mengubah cara hidup tetapi kita menunjukkan teladan yang tidak baik. Ingat ’teropong rakyat’ semakin aktif meneropong tindakan dan amalan kerajaan. Dalam hal ini tindakan YB Dato’ Ahmad Said tidak seharusnya bercanggah dengan arahan dan seruan kerajaan pusat.
Kita ingin bertanya MB Terengganu di mana semangat patriotisme@nasionalismenya? Semangat ini tidak boleh diukur dengan nilai sebuah Mercedes.Dalam keadaan kita berhadapan dengan isu ekonomi dan tekanan inflasi maka amalan mengutamakan barang buatan sendiri patut disemarakkan. Dulu kerajaan yang sama juga menjalankan kempen ’buy British last’ .
Amalan ini perlu dihidupkan kembali dengan mengutamakan pembelian barang keluaran/buatan negara. Belajarlah dari semangat Jepun, Korea malah India yang mengutamakan ’’product’ mereka sendiri. Sebagai MB janganlah kita merendah-rendahkan kereta nasional walaupun ia ada kelemahan dalam beberapa hal tetapi secara keseluruhannya prestasi dan mutu kereta nasional kita boleh dibanggakan. Apakah MB mahu ’kambing hitamkan’ Proton yang menjadi kebanggan negara.
Apakah barisan Exco Terengganu perlu berselesa ketika rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barang. Tidakkah MB peka terhadap arahan supaya jabatan dan agensi kerajaan berjimat cermat? Rakyat akan membandingkan MB Terngganu dengan MB di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang memerintah. Di negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah, MB dan exco-exco mereka terus menggunakan kereta yang sedia ada. MB Terengganu juga jangan lupa Haji Hadi semasa menjadi MB dulu mengguna Mercedes lama yang yang berumur lebih 5 tahun.
Justeru, batalkan sahaja niat membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor dan utamakan kereta nasional kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment