Thursday, July 17, 2008

DEBAT MEDIUM ELAK PERHIMPUNAN JALANAN

Oleh Zuddinur

SEKALUNG tahniah kepada Agenda Daily kerana berjaya menganjurkan suatu program Debat di antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di kaca TV, malam semalam.

Debat sebegini amat dialu-alukan semua pihak kerana ia memberi peluang dan ruang kepada pembangkang menjelaskan misi serta visi mereka sekiranya mereka memerintah negara. Bagaimanapun, segala hujah yang kemukakan kedua-dua pendebat itu sama ada bernas atau tidak, terpulang kepada rakyat sendiri mengadilinya.

Seperti yang kita semua maklum, debat diadakan di Dewan Bahasa dan Pusaka, 'Hari ini Membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' berjalan lancar. Datuk Johan Jaafar selaku moderator berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tanpa memintas hujah kedua-dua pendebat jemputan.



Sesi debat sebegini lebih memberikan manfaat kepada semua pihak tanpa perlu menganjurkan sebarang demonstrasi jalanan yang memberi impak kepada peniaga, pengguna jalan raya dan industri pelancongan.

Berbalik kepada sesi debat pertama, penulis melihat Anwar yang berpengalaman dalam kerajaan, apatah lagi pernah pada suatu ketika bukan saja memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi Menteri Kewangan melontarkan pandangan bagaimana beliau dapat menurunkan harga minyak sekiranya beliau berjaya membentuk kerajaan.

Anwar dilihat menggunakan platform itu untuk meyakinkan rakyat bagaimana formula untuk beliau mendapatkan dana RM5 bilion untuk menurunkan harga petrol di Malaysia ke paras RM2.20 seliter, iaitu penurunan 50 sen.

Penulis melihat Anwar bukan saja membuat persiapan dari segi fakta dan angka, tetapi mencurahkan pengetahuan dana pengalamannya sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan kerana apabila seseorang menyandang jawatan Menteri Kewangan sudah pasti beliau tahu dari mana datangnya hasil atau sumber pendapatan negara.

Bagaimanapun sama ada hujah Anwar tepat atau tidak masuk akal, terpulang kepada rakyat atau pakar ekonomi negara membuat penilaian.

Shabery yang bertindak sebagai wakil kerajaan perlu diberikan pujian di atas keberanian menerima jemputan pihak penganjur untuk berdebat dengan Anwar. Penulis melihat tidak semua pemimpin kerajaan berani seperti Shabery untuk duduk di atas pentas sama dengan Anwar dan berdebat secara terbuka dan disiarkan secara langsung.

Oleh itu, penulis memuji di atas sifat keberanian beliau itu kerana semua orang tahu petahnya Anwar bila berhujah kerana apa saja yang keluar dari mulut Anwar tidak boleh dinafikan kerana beliau mampu meyakinkan orang yang mendengarnya, kecuali mereka yang benar-benar taksub pada Umno dan membencinya.

Ketika Shabery melontarkan hujahnya, penulis melihat dari sudut pengalaman Shabery jauh ketinggalan berbanding Anwar. Bagaimanapun, kita harus terima hakikat Shabery baru pertama kali memegang jawatan menteri dan sebelum ini pun sekadar Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar.

Shabery ada ketikanya menyerang isu peribadi Anwar, walaupun penulis mendengar Johan sebagai moderator pada ucapan awalnya memperingatkan kedua-dua pendebat agar tidak melakukan ucapan berbentuk serangan peribadi.

Shabery sepatutnya menggunakan pentas untuk menjelaskan dengan sebaik mungkin apa akan berlaku atau risiko yang perlu dihadapi kerajaan sekiranya harga minyak tidak dinaikkan dan jelaskan kepada rakyat berdasarkan pendapatan yang diperoleh dari Petronas ke mana wang itu dibelanjakan secara terperinci.

Penulis yakin sekiranya Shabery berjaya menerangkan kepada rakyat risiko perlu ditanggung dan bagaimana kerajaan menguruskan wang Petronas, rakyat boleh menerima keputusan kerajaan menaikkan harga minyak.

Penulis juga bersimpati dengan Shabery kerana tidak nampak kelibat seorang pun menteri atau timbalan menteri yang hadir ke dewan itu untuk memberi sokongan moral.

Apa yang penulis dapat lihat ada beberapa kerat saja Ahli Parlimen BN yang hadir dan tukang sorak Umno yang datang untuk memberikan sorakan padu kepada Shabery. Oleh itu, dari aspek sorakan penulis dapat katakan bahawa Umno menang. Persoalannya mengapa tetamu sedemikian menjadi pilihan Umno sedangkan ada baiknya sekiranya Umno memberikan tempat duduk kepada ahli akademik atau pakar ekonomi yang lebih layak untuk menjadi tetamu di dewan itu.

Penulis tidak mahu mengulas panjang, tetapi melihat penganjuran debat sebegini harus diteruskan pada masa depan supaya rakyat mendapat penjelasan yang telus dan seterusnya menilaikannya sendiri. Apa yang pasti keberanian Shabery harus dipuji dan menjadi cabaran kepada pemimpin Umno lain lebih veteran.

(sumber : Surat Pembaca Berita Harian 17/7/2008)

No comments: