Thursday, July 17, 2008

KENYATAAN DATO MOHD BAKRI ZININ

16/07/2008 9:07pm

Berikut adalah kenyataan akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin mengenai penahanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim:

1. Untuk memastikan sesuatu tindakan berjaya diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), PDRM memerlukan perancangan yang teratur dan sempurna.

2. PDRM mengambil kira dari sudut keselamatan operasi yang dijalankan, sama ada terhadap keselamatan pegawai/anggota polis yang menjalankan tugas atau kepada individu yang diambil tindakan.

3. Keselamatan adalah perkara yang paling utama dalam sesuatu operasi yang dijalankan. PDRM mempunyai peraturan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dipertanggungjawab kepada polis. Tindakan ini adalah selari dengan garis panduan yang sedia ada.

4. Dalam melaksanakan tangkapan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia adalah secara profesional berdasarkan kepada keperluan ini. Bagaimanapun, tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas Bukit Aman. Tidak berlaku sebarang tindakan yang melanggar garis panduan yang ditetapkan.

5. Pihak polis boleh mengesahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditangkap pada 16 Julai 2008 jam 1.00 petang di sekitar Segambut. Pihak PDRM tidak mahu membuat tangkapan di dalam rumah beliau yang boleh menimbulkan kekecohan (commotion), waran tangkap telah disempurnakan ke atas beliau. Ketika ini beliau sedang membantu dalam siasatan satu kes liwat yang telah dilaporkan kepada polis oleh seorang pembantu beliau.

6. Beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengan peguam yang dipilihnya sendiri dan peguam beliau berada bersamanya pada waktu ini. Ahli keluarga beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengannya. PDRM ingin memberi kepastian kepada semua yang berkenaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini selamat berada dalam tahanan pihak polis.

Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Polis Diraja Malaysia

No comments: