Tuesday, July 22, 2008

JANGAN BERSENGKETA DAN BERCAKARAN

Oleh Pemikir Negara

Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menegaskan muzakarah antara UMNO dan PAS adalah satu perangkap. Ia adalah perangkap disediakan UMNO untuk melemahkan PAS dan seterusnya menghancurkan parti yang mendabik dada memperjuangkan Islam.

Kenyataannya itu bercanggah dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengaku wujudnya muzakarah berkenaan bertujuan untuk membincangkan isu yang membabitkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Persoalannya, mengapa Nik Aziz membuat kenyataan itu? Adakah kerana beliau tidak dipanggil untuk menghadiri muzakarah itu menyebabkan beliau tidak setuju? Atau adakah beliau tidak mahu jawatan Menteri Besarnya tergugat hasil daripada muzakarah itu? Atau adakah beliau sudah berselisih faham dengan Datuk Seri Abdul Hadi?

Sepatutnya, Nik Aziz mengalu-alukan usaha untuk menyatupadukan pemimpin Melayu dalam memperjuang dan mempertahankan hak bangsa Melayu dan kepentingan Islam. Penyatuan ini penting bagi memastikan tiada pihak yang berani mempertikaikan segala hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Tindakan sesetengah pihak mempersoalkan hak orang Melayu kebelakangan ini amat tidak sihat dalam negara yang mencapai kemerdekaan hasil titik peluh pejuang negara pelbagai kaum yang mahu tiada perbalahan dan persengketaan.

Semua rakyat negara ini sudah pasti tidak mahu kejadian 13 Mei 1969 berulang. Semua rakyat negara ini sudah pasti mengutuk pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman sempit terutama mempertikaikan hak bangsa Melayu di negara ini.

Tindakan itu boleh diibaratkan sebagai apabila seorang tuan rumah sudah menganggap tetamunya sebagai keluarga mereka tiba-tiba diserang oleh tetamu berkenaan dengan menganggap apa yang ada dalam rumah itu bukan haknya tetapi perlu dikongsi bersama.

Sebagai tuan rumah, sudah tentu beliau rela untuk berkongsi bersama segala peralatan seperti kerusi meja, pinggan mangkuk atau sebagainya tetapi kecewa apabila tetamu berani mempertikaikan hak tuan rumah termasuk hakmilik.

Marilah kita bersama menjaga sensitiviti antara satu sama lain demi memastikan Malaysia terus selamat, aman dan makmur.

No comments: