Thursday, July 31, 2008

SAIFUL BERSUMPAH DENGAN AL-QURAN

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 30 Julai – Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan bersumpah dengan al-Quran dalam masa terdekat bagi membuktikan dirinya pernah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu sebaik saja siasatan polis selesai.

Bekas pembantu Anwar itu menegaskan bahawa beliau tiada sebab untuk memfitnah dan menganiaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu apabila membuat laporan polis pada 28 Jun lalu dengan mendakwa dirinya diliwat beberapa kali oleh Anwar.

Kesediaan beliau bersumpah itu yang bertujuan semata-mata bagi membuktikan kebenaran dakwaan dirinya telah diliwat oleh Anwar diberitahu kepada peguamnya, Zamri Idrus.

Mohd. Saiful, 23, akan melakukan upacara bersumpah mengikut Islam itu sejurus siasatan polis terhadap kes itu selesai tidak lama lagi.

Zamri dalam satu sidang akhbar di sini petang ini memberitahu, ketegasan Mohd. Saiful untuk bersumpah dengan al-Quran itu dinyatakan sendiri kepada beliau baru-baru ini.

Malah, tambah Zamri, anak guamnya itu mempunyai bukti kukuh bahawa dirinya memang telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

“Saya akan maklumkan kepada media dalam masa terdekat ini tentang bila (Mohd. Saiful) akan bersumpah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Saiful dalam satu kenyataan bertulis yang ditandatanganinya yang dibacakan oleh Zamri memberitahu:

“Saya menuntut supaya Anwar Ibrahim tidak berdolak-dalik dalam kes ini. Saya juga menyatakan bahawa tiada sebab untuk saya memfitnah dan menganiaya Anwar dalam kes ini.”

Dalam perenggan awal kenyataan itu, Mohd. Saiful yang tidak hadir pada sidang akhbar berkenaan atas sebab-sebab keselamatan berkata:

“Saya telah membuat laporan polis berkenaan saya telah diliwat oleh Anwar... saya sedang menunggu hasil siasatan pihak polis untuk membawa individu terlibat ke muka pengadilan.”

Sementara itu, Zamri berkata, bekas pembantu Anwar itu kini tinggal bersama bapanya dan diletakkan di bawah jagaan polis. Beliau menafikan Mohd. Saiful berada di luar negara.

Zamri juga memberitahu, anak guamnya itu belum dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diambil keterangan berhubung laporan Anwar yang menuntut tindakan undang-undang syariah diambil di bawah peruntukan qazaf.

Katanya, Mohd. Saiful sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Jawi jika dipanggil memberi keterangan.

No comments: