PUTRAJAYA: Kepemimpinan tertinggi Umno dan Pas secara senyap sudah mengadakan tiga pertemuan bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam serta kepentingan umat Islam di negara ini.
Dalam pertemuan itu, Umno diketuai sendiri oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, manakala Pas dipercayai diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hadir pada pertemuan itu.
Perdana Menteri mengesahkan pertemuan itu kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2008 di sini, semalam.
"Saya dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak payahlah saya cakap siapa, tetapi mereka yang boleh membuat keputusan. Apa yang boleh saya kata, Nik Aziz tak ada," katanya.
Kelmarin, Abdullah yang juga Presiden Umno, berkata beliau bersedia memulakan muzakarah dengan pemimpin Pas secepat mungkin untuk mengukuhkan perpaduan Melayu kerana ia penting dan menjadi teras kepada perpaduan rakyat.
Muzakarah itu dicadangkan oleh Abdul Hadi dalam satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu.
Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menegaskan Pas berhak mengadakan rundingan bersama Umno tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.
Mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan dalam tiga pertemuan itu, Abdullah berkata: "Kita berbincang dengan ikhlas dan menyuarakan apa juga pandangan yang kita fikir wajar, antaranya isu yang boleh memberi kesan kepada agama Islam kerana penting kita tidak berbalah dalam hal berkaitan agama.
"Lagipun, kalau hal agama ini menjadi isu politik, ia boleh membawa masalah kepada orang Islam. Apa yang boleh saya katakan kita ada bersefahaman yang baik."
Ditanya sama ada Umno akan mengenakan syarat dan kemungkinan melantik pihak ketiga untuk menjadi pengerusi muzakarah yang dicadangkan Pas, Abdullah berkata:
"Buat apa kita nak letak syarat, menyusahkan saja. Kita bincang dengan ikhlas. Apa juga pandangan yang kita fikir wajar kita bincang, kita bincanglah.
"Biarlah kita pada peringkat ini cakap pada peringkat kita saja, belum lagi memikirkan sama ada orang ketiga itu perlu atau tidak."
Monday, July 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment