Oleh Rohani Ibrahim
KUALA LUMPUR 24 Julai – UMNO dan Pas perlu meneruskan muzakarah kerana pertemuan antara kedua-dua parti itu sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.
Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, Abdullah menegaskan muzakarah itu perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan agama Islam.
Menurut Muhammad, Perdana Menteri memberitahu umat Islam tidak boleh berbalah walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang soal-soal pentadbiran kerana dari segi agama perlu ada kerjasama dan persefahaman antara UMNO dan Pas yang mewakili kepimpinan Islam.
Katanya lagi, pertemuan susulan dijangka berlaku memandangkan pertemuan yang baru berlangsung mewujudkan persefahaman di antara kedua-dua parti.
‘‘Ya, sudah pasti pertemuan seterusnya akan diadakan Pas dan UMNO sudah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dan mungkin ada pertemuan yang seterusnya.
‘‘Pertemuan yang diadakan berlangsung dengan begitu baik dengan beberapa persefahaman mengenai isu-isu tertentu,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tersebut di sini.
Menurut Muhammad, pada mesyuarat tersebut Perdana Menteri menerangkan kepada ahli-ahli MT tentang pertemuan yang diadakan oleh pimpinan UMNO dan Pas.
Katanya, pertemuan di antara kepimpinan dua parti itu perlu bagi kepentingan bangsa, rakyat dan juga kedua-dua parti.
Beliau berkata, semasa pertemuan itu tidak timbul isu mengenai lompat parti kerana isu yang lebih penting adalah agama.
“Sememangnya Perdana Menteri ada terangkan kepada anggota MT tentang pertemuan yang diadakan di antara pimpinan UMNO dan Pas terutama sekali tentang perkara pokok seperti agama.
Beliau berkata, perkara berkaitan agama tidak harus ada tolak ansur dan perbalahan di kalangan umat Islam.
“Perkara berkaitan keimanan, ajaran agama tidak boleh berbalah, boleh ada perbezaan pendapat tentang soal pentadbiran tetapi soal agama perlu ada kerjasama dan kesefahaman di antara kepimpinan UMNO dan Pas yang mewakili pimpinan Islam,” katanya.
Selain isu, muzakarah beliau berkata, MT turut membincangkan mengenai langkah-langkah untuk memperkasakan parti.
‘‘MT turut membincangkan bagaimana untuk mendekati isu semasa dengan cara yang semasa, melakukan muhasabah diri dan melihat pada realiti.
‘‘UMNO perlu kenal pasti apa sebenarnya yang patut dihadapi dalam berhadapan dengan audiens serta situasi yang baru,’’ katanya.
Jelas beliau, antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat MT ialah masyarakat semasa sudah lebih kritikal dan telus dan itu merupakan realiti yang perlu diberi perhatian oleh parti.
Muhammad menambah, mesyuarat MT hari ini tidak membincangkan isu tuntutan kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) oleh Singapura dan isu pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor oleh kerajaan negeri Terengganu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment