Oleh Manja Ismail (Berita Harian)
KIRA-kira tujuh tahun lalu, selepas majlis perasmian Pejabat Petronas Jakarta oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad di ibu kota Indonesia, Baihaki Hakim yang ketika itu Ketua Eksekutif Pertamina serta rakan sejawatnya di Petronas, Tan Sri Hassan Merican menemui beberapa wartawan Malaysia yang hadir membuat liputan.
Petronas ketika itu pada peringkat awal untuk mengembangkan sektor runcitnya di sana berikutan proses liberalisasi industri petroleum dan gas Indonesia. Pertamina, selain antara syarikat minyak tertua, adalah yang terbesar dari segi aset dan simpanan minyak mentah di Asia.
Dalam pertemuan itu, Baihaki, secara berseloroh berkata: "Aneh ya Pak, dulu ketika Petronas mahu ditubuhkan, Malaysia meminta bantuan dan tunjuk ajar Pertamina, tetapi kini Pertamina yang harus banyak belajar daripada Petronas dalam mengendalikan industri ini. Malah, kita sekarang banyak belajar daripada pengalaman dan kejayaan Petronas dalam sektor runcit".
Kisah ini diimbas kembali kerana Petronas sejak kebelakangan ini sentiasa menarik perhatian, terutama apabila setiap kali harga runcit petrol dan gas naik serta selepas syarikat petroleum nasional itu, tahun demi tahun mengumumkan penyata kewangan tahunannya yang mencatatkan peningkatan keuntungan berbilion-bilion ringgit. Terbaru, Petronas mengumumkan untung kasarnya RM95.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu yang membolehkannya menyumbang kepada kerajaan dalam bentuk dividen, cukai dan royalti sebanyak RM67.6 bilion. Petronas juga berada di tangga kelapan sebagai syarikat paling untung di dunia dalam senarai terbaru Fortune 500.
Kerana itu tidak hairanlah Petronas sentiasa menjadi tarikan dan harapan pelbagai pihak bergantung kepada kepentingan masing-masing. Kepada parti pembangkang, mereka menjadikan Petronas sebagai sumber kewangan untuk melaksanakan janji pilihan raya jika memerintah negara; tokoh-tokoh korporat muda mengidam jawatan utama dalam syarikat itu; kontraktor mahukan projek berbilion-bilion ringgit diberikan kepada mereka; dan rakyat biasa pula mengharapkan harga petrol sentiasa rendah. Yang terbaru, Persatuan Pelabur Malaysia juga mahu menikmati sebahagian kejayaan dan kekayaan Petronas apabila menyarankan syarikat milik negara itu diapungkan di bursa saham.
Keghairahan mereka terhadap Petronas tentulah kerana kedudukan dan kejayaannya sekarang sebagai antara syarikat petroleum terbaik dunia dengan operasi di lebih 30 negara. Namun, pencapaian itu tidak mungkin berlaku hanya dengan kekayaan sumber minyak dan gas negara semata-mata tanpa perancangan, kebijaksanaan dan komitmen pengurusan Petronas serta sokongan padu kerajaan dan pucuk pimpinan kepada syarikat itu, sejak penubuhannya hingga kini.
Kemampuan Petronas mencatat keuntungan besar tahun lalu sebahagian besarnya kerana peningkatan operasi perniagaan, selain keupayaannya membendung kenaikan kos. Kenaikan harga minyak turut meningkatkan kos operasi industri itu. Jika kos bagi menggerudi sebuah telaga mencari minyak di pesisir pantai dua tahun lalu sekitar AS$3 juta, ia kini meningkat tiga kali ganda. Kos sewa peralatan menggerudi laut dalam misalnya, meningkat daripada AS$200,000 kepada lebih AS$600,000 sehari.
Malah, operasi antarabangsanya menjadi penyumbang utama pendapatan Petronas tahun lalu dengan 40.3 peratus berbanding operasi domestik dan eksport, yang masing-masing pada kadar 20.8 peratus dan 38.9 peratus. Sumbangan operasi antarabangsa yang lebih tinggi dan pengurangan kebergantungan kepada operasi domestik itu mencerminkan kejayaan strategi globalisasi Petronas selama ini.
Hakikatnya, walaupun Petronas antara syarikat petroleum terbaik, Malaysia hanyalah pada kedudukan 23 sebagai pengeluar minyak mentah dan ke-14 bagi gas. Rizab minyak mentah negara ketika ini di sekitar 5.4 bilion tong yang mampu bertahan selama 22 tahun lagi, manakala rizab gas asli kira-kira 89 trilion kaki padu dengan jangka hayat 39 tahun.
Bagaimanapun, Malaysia akan lebih cepat menjadi pengimport bersih minyak mentah jika pengeluaran dalam negara gagal menampung permintaan yang semakin meningkat sekarang. Permintaan ke atas produk petroleum tempatan sekarang meningkat di sekitar empat hingga enam peratus setahun. Jika permintaannya meningkat pada kadar empat peratus, Malaysia akan menjadi pengimport bersih pada 2014 dan lebih awal jika ia meningkat pada enam peratus, iaitu 2011 kira-kira tiga tahun lagi.
Justeru, penstrukturan semula subsidi minyak yang menimbulkan kegelisahan rakyat dan menjadi modal utama pembangkang sekarang, perlu dilihat dari sudut positif, iaitu supaya kita bersikap lebih efisien dan kompetitif. Subsidi untuk jangka panjang merugikan negara kerana ia mewujudkan harga rendah yang palsu, tidak mencerminkan harga pasaran.
Secara prinsipnya, subsidi harus diberikan kepada golongan yang memerlukan saja, tetapi apa yang berlaku subsidi petroleum di negara ini turut dinikmati oleh golongan berada, syarikat utiliti dan industri pembuatan. Sudah tiba masanya subsidi mempunyai had dan sasaran khusus seperti yang diamalkan di negara Barat. Dalam hubungan ini, Indonesia dilihat lebih proaktif menangani isu subsidi petroleum, manakala Vietnam walaupun mengamalkan sistem sosialis, menjual petrol mengikut harga pasaran.
Memang pembangkang boleh bercakap apa saja tanpa mengambil kira realiti semasa dan masa depan negara. Rakyat terutama generasi muda tentunya tidak mahu apa yang dikatakan sebagai 'sumpahan kekayaan sumber asli' turut berlaku di negara ini sehingga anak cucu mereka hanya mengetahui kemakmuran Malaysia menerusi buku sejarah. Pengalaman Venezuela dan Nigeria, dua negara yang kaya dengan sumber semula jadi, termasuk petroleum, tetapi terkena sumpahan itu harus dijadikan pengajaran. Perpecahan masyarakat, ketidakstabilan politik dan pemerintahan diktator, ditambah dengan kegagalan menguruskan sumber petroleum dan ketiadaan dasar ekonomi yang jelas, menyebabkan rakyat kedua-dua negara yang kaya dengan sumber itu, menderita.
Pertamina mungkin belajar pengalaman dan kejayaan Petronas dalam industri petroleum, tetapi itu tidak bermakna Indonesia turut terkena sumpahan. Pakar ekonomi Bank Dunia, Jeni Klugman dalam kajiannya mengenai 'Sumpahan Minyak' di kalangan negara yang kaya dengan sumber asli dua tahun lalu, menyatakan Indonesia berjaya mengelaknya apabila sebahagian besar hasil kekayaan minyaknya disalurkan kepada kerajaan tempatan bagi program membasmi kemiskinan. Rakyat Malaysia tentu tidak mahu negara tercinta ini turut terkena 'Sumpahan Minyak'.
Monday, July 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment