Thursday, July 24, 2008

DR RAIS JELASKAN KES DSAI KEPADA RICE

SINGAPURA 24 Julai — Amerika Syarikat menghormati susunan dan tatacara undang-undang Malaysia dan tidak menyangkal penerangan yang diberikan mengenai dakwaan kes liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais berkata, beliau hari ini telah menerangkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice mengenai “susunan dan tatacara undang-undang negara yang melibatkan Anwar Ibrahim.”

“Rice tidak menyangkal penyampaian Malaysia itu,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Forum Serantau Asean ke-15 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Rice selama 15 minit di luar forum itu.

Rais berharap “Amerika Syarikat selepas ini, sama ada melalui pegawainya atau mana-mana pihak, tidak lagi mencurigai apa yang terkandung secara dalaman negara Malaysia, dan ini memberikan penghormatan dan pengiktirafan kepada Malaysia.” - BERNAMA.

No comments: