oleh : ATH
Hari ini persidangan Dewan Rakyat berjalan dalam keadaan kelam kabut, riuh rendah dan seolah-olah tidak ada peraturan mesyuarat hampir 40 minit kerana Wakil Rakyat Pembangkang khasnya PKR tidak berbahas secara tertib dan bernas.
Mereka langsung tidak menghormati dan mengendahkan keputusan Yang Di Pertua Speaker dan peraturan-peraturan mesyuarat. Wakil Rakyat PAS nampaknya lebih sopan dan tenang berbanding dengan Wakil Rakyat PKR.
Keadaan seperti “kapal karam” itu tercetus apabila Wakil Rakyat Pembangkang membangkitkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap tindakan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengadakan sekatan jalan raya menuju ke bangunan Parlimen dan ini didakwa telah menganggu pergerakan mereka menghadiri sidang Parlimen.
Walaupun Speaker memaklumkan bahawa tindakan polis itu bertujuan memelihara keselamatan orang ramai termasuk keselamatan Wakil Rakyat yang bersidang di Parlimen, penjelasan itu tidak dapat memuaskan hati Wakil Rakyat Pembangkang.
Malah mereka mempersoalkan tindakan polis itu dengan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah sedangkan selama ini pihak polis telah menjalankan tugas dengan baik bagi memelihara keselamatan rakyat dan Negara. Tindak-tanduk Wakil Rakyat Pembangkang ini sangat mendukacitakan dan memalukan rakyat yang cintakan keamanan.
Wakil Rakyat Pembangkang perlu ingat dan faham bahawa dalam pengurusan keselamatan negara strategi berkesan ialah untuk mengelak dan menghalang sesuatu perkara itu daripada berlaku. Ini adalah kerana jika tidak dihalang atau dicegah, kesan buruknya adalah lebih besar dan boleh memusnahkan keharmonian dan keselamatan negara.
Justeru, tindakan polis pada hari ini lebih merupakan usaha pencegahan bagi mengelakkan kumpulan tertentu mencetuskan keadaaan huru-hara. “Preventive is better than cure”.
Umum mengetahui pada petang ini (14 Julai 2008), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan dipanggil oleh pihak polis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan kes liwat beliau. Umum juga mengetahui perkhabaran satu perhimpunan haram berkenaan usul undi tidak percaya kepada PM akan diadakan pada pagi ini di hadapan bangunan Parlimen.
Walaupun usul undi tidak percaya ditolak oleh Speaker dan Datin Seri Wan Azizah mengetahui alasannya namun Wakil Rakyat Pembangkang masih mendesak Speaker mengizinkan usul tersebut dibahaskan dengan alasan yang tidak munasabah dan emosi serta kononnya dibuat demi kepentingan rakyat. Sepatutnya Speaker tidak melayan karenah Wakil Rakyat Pembangkang ini kerana tujuan mereka ialah untuk mempolitikkan isu Anwar dan menagih simpati rakyat.
Putar belit Wakil Rakyat Pembangkang menggunakan Persidangan Dewan Rakyat pagi ini sangat mudah difahami oleh orang kebanyakan umpama “sudah terang lagi bersuluh”. Ia lebih bertujuan politik seseorang tetapi bukan untuk kepentingan rakyat seperti yang didakwa oleh mereka. Sebaliknya bertujuan mengalihkan pemerhatian rakyat umum daripada membincangkan isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isu lain dengan harapan isu liwat Anwar akan dilupakan.
Taktik kotor ini tidak akan berjaya kerana rakyat telah faham dan masak dengan lakonan DSAI dan konco-konconya yang sering menggunakan skrip lama.
Wakil Rakyat Pembangkang juga sering berhujah apabila membawa sesuatu usul di Parlimen bahawa mereka berbuat demikian kerana untuk kepentingan rakyat atau mendapat sokongan sebilangan rakyat. Apakah benar dakwaan murah dan “stereotype” mereka itu?
Apakah Wakil Rakyat Barisan Nasional yang memenangi 140 kerusi di Dewan Rakyat tidak mempunyai penyokong? Secara logiknya tentulah penyokong Barisan Nasional lebih besar dari Pakatan Rakyat yang hanya memenangi 82 kerusi sahaja?
Apakah kita mahu menembungkan penyokong masing-masing untuk menentukan siapa yang lebih kuat dan berpengaruh? Tentunya orang yang berfikiran rasional akan menolak cara ini kerana ianya boleh menimbulkan kekacauan dan huru-hara.
Sudah tentu apabila ini berlaku tentunya pihak pembangkang akan menuding jari kepada kerajaan dan pihak polis kerana gagal menjaga keselamatan negara. Inilah sikap pihak pembangkang yang perlu kita awasi iaitu bersifat "talam dua muka" dan “opportunist” yang mengambil kesempatan daripada kesempitan orang lain.
Adalah amat wajar semua Wakil Rakyat khasnya Pembangkang bertindak secara wajar dan rasional serta mengenepikan kepentingan-kepentingan politik sempit semasa berbahas di Dewan Rakyat yang mulia ini sekiranya kemuliaan Dewan hendak dikekalkan sepanjang masa.
Pujian harus diberikan kepada Speaker yang banyak bertolak-ansur dan sabar dalam menguruskan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat. Dalam pada itu, Speaker juga perlu menunjukkan ketegasannya bagi memastikan setiap Wakil Rakyat menghormati keputusan yang telah beliau ambil serta mematuhi peraturan mesyuarat bagi mengelakkan persidangan Dewan Rakyat dilihat seperti kapal karam atau kedai todi.
Melihat apa yang berlaku dalam persidangan tengahari tadi yang penuh emosi dan tidak mengendahkan arahan-arahan Speaker sungguh memalukan dan tidak patut dijadikan contoh. Kalau keadaan ini berterusan, impian untuk menjadikan Parlimen Malaysia "First World Parliament" merupakan satu ilusi dan “jauh panggang daripada api”.
Monday, July 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment