Wednesday, July 23, 2008

MAHKAMAH PILIHANRAYA TOLAK PETISYEN

KANGAR 23 Julai — Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, yang dikemukakan oleh bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihan raya.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di sini hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi dewan undangan negeri kawasan Simpang Empat gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihan raya yang berkaitan poster itu.

Pada 28 April lepas Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus’sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperolehi 2,825 undi dan Rus’sele mendapat 2,878 undi.
- Bernama

No comments: