Thursday, July 17, 2008

BERMULALAH SANDIWARA POLITIK...

Oleh Big Dog
(http://bigdogdotcom.wordpress.com)

Mantan Timbalan Perdana Menteri dan banduan salah guna kuasa Anwar Ibrahim ditahan Polis pada 12.55pm berdekatan dengan rumah beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur Barat Laut kerana laporan Polis mengenai kes liwat yang dibuat keatas beliau oleh Saiful Bukhari Azlan. Beliau dibawa ke IPK Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah dan disiasat bawah S 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan/atau sebatan jika disabit kesalahan.

Apakah dengan ini, bermula lagi drama dan sandiwara, yang begitu meninggalkan kesan negatif dalam senario dan lanskap politik tanahair, sebagaimana kali pertama hampir sepuluh tahun dahulu?

Secara peribadi, saya mula timbul kesedaran memerhatikan scnario politik tanahair dan mengikut perkembangan Anwar Ibrahim semenjak Pilihanraya Umum (PRU) ke VI 1982. Pada waktu itu saya di tingkatan tiga disebuah sekolah asrama penuh di Johor dan guru sejarah pula menerapkan nasionalism kedalam sanubari kami, dalam konteks memberikan tafsiran sejarah dan bagaimana negara ini terbina. Apabila PRU 6 menjelang, maka ianya peluang keemasan untuk memperjelaskan sistem politik Malaysia secara mengikuti perkembangan semasa pra, semasa dan pasca pilihanraya.

Pada masa itu, Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menghadapi pilihanraya umum pertama setelah mengambil alih jawatan dari Tun Hussein Onn, pada Julai 1981.

Seorang pemimpin belia, Anwar Ibrahim telah diambil masuk kedalam UMNO, ditawarkan bertanding sebagai calon BN di Permatang Pauh dan setelah menang, diangkat sebagai Setiausaha Parlimen diJabatan Perdana Menteri. Kemudian dinaikan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mencabar Hj. Suhaimi Kamaruddin untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dan menang.

Selepas pada itu, beliau naik dengan kadar luar biasa dan menjadi Menteri Pertanian, Pelajaran dan akhirnya Kewangan sebelum mencabar Timbalan Perdana Menteri En. Abdul Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Guru sejarah saya itu mengingatkan bahawa Anwar pernah ditahan dibawah ISA pada 1974 kerana menganjurkan rusuhan pelajar, akibat kunun kunun terdapat orang tempatan Baling mati kerana kebuluran, akibat daif yang keterlaluan. Selama dua tahun berada di Kem Kamunting.

Pesan guru saya yang masih terngiang ngiang diteliga “Perhatikan Anwar ini dengan teliti. Lihat apabila dia naik (mendapat jawatan dalam pentadbiran), apa yang akan dilakukan kepada Baling. Ingat, dia pernah masuk penjara (ISA) kerana dakwa ada orang mati diBaling kerana kebuluran!”.

Selama sepuluh tahun saya memerhatikan perkembangan Anwar. Dalam sepuluh tahun itu, beliau sampai ke kedudukan paling strategik dalam Kabinet – Menteri Kewangan. Namun begitu, tiada sesuatu yang substantif yang Anwar usahakan untuk orang Baling, yang boleh menjanjikan bahawa kehidupan mereka terjamin dan peristiwa “Orang mati kerana kebuluran” tidak berulang.

Kalau kita kaji, drama/sandiwara yang pernah Anwar mainkan sepanjang 35 tahun amat menarik. Bermula dengan kisah rusuhan pelajar 1974, kemudian mencabar En Ghafar pada 1993 dan kali terakhir dalam karier bersama UMNO ialah pada 1997, apabila Ketua Pemuda ketika itu Ahmad Zahid Hamidi diperkudakan untuk membawa mesej “kronisma” dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun itu.

Drama makin menarik dengan kenyataan yang dibuat sebagai Menteri Kewangan semasa krisis kewangan dan ekonomi 1997-8, dimana beliau menaikan faedah pinjaman dan memendekan tempoh hutang lapuk, yang secara automatiknya member kesan amat dasyat kepada golongan peniaga dan usahawan, samada kecil atau gergasi, terutama golongan Bumiputra.

Akhirnya, selepas tuduhan liwat timbul, beliau dipecat pada 2 September 1998 (pada April 2007, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pemecatan beliau dari Kabinet pada 2 Sept 1998 adalah sah). Maka drama/sandiwara makin hebat dipersembahkan. Gerakan ‘Reformasi’ dilancarkan dan serta merta, negara menyaksikan budaya mendemonstrasi dan merusuh dijalanan yang begitu intensif.

Kemudian timbul babak babak yang memberikan ‘warna’ dalam drama/sandiwara ini, termasuk ‘modal konspirasi’, dakwaan akan disuntik dengan virus HIV dan diracun arsenik (semasa dalam tahanan, dalam tempoh perbicaraan). Sakit tulang belakang yang memerlukan rawatan di luar negara merupakan modal untuk mencari helah dan simpati, terutama masyarakat antarabangsa.

Apabila berjaya dibebaskan dari penjara pada 2004, dalam fenomena perundangan cukup luar biasa (rayuan diperingkat Mahkamah Persekutuan pusingan kedua), hakim masih bersetuju bahawa liwat keatas Azizan Abu Bakar itu berlaku. Hanya masa kejadian diragui dan dengan itu, hukuman dibatalkan.

Semasa kempen Pilihanraya Kecil Ijok April 2007, Anwar memberikan begitu banyak tumpuan dan keseluruhan modal kempen beliau berpaksi kepada menyerang TPM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kunun kunun terlibat dengan rasuah pembelian asset ATM kapal selam Scorpene dan pesawat tempur pelbagai tugas Su 30 MKM. Dakwaan tanpa asas adalah kerana rancangan strategik menjahamkan kredibiliti TPM Najib, seorang pewaris Kepimpinan Negara.

September 2007 melihat bagaimana Anwar mendakwa berlaku penyelewengan dalam perlantikan Kehakiman. Video yang dirakam mengenai perbualan telefon peguam V K Lingam oleh Loh Gwo Burne (yang mungkin bertujuan untuk ‘memeras ugut’ kerana Lingam merupakan peguam Tun Dr. Mahathir dalam kes Anwar saman Dr. Mahathir) digunakan sebagai modal untuk menekan Kerajaan. Akhirnya, sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja dibentuk lewat 2007.

Lewat 2007 pula menyaksikan bagaimana Anwar memberikan sokongan kepada puak pelampau dan militan HINDRAF, dalam usaha bankrap beliau meraih sokongan politik rakyat Malaysia keturunan India dan tekanan yang dijana dari masyarakat India antarabangsa.

Pasca PRU 12 pula, menyaksikan Anwar menjanjikan kerjasama longlai Pembangkang bawah Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil alih tampuk Kerajaan Pusat dalam tempoh terdekat. Dalam perayaan “Black 14″ di Kelab Sultan Sulaiman, beliau mencanangkan bahawa dalam 2 minggu, 30 orang MP BN akan berpaling tadah kepada PR. Ukurtara ini (MP BN lompat parti) makin hari makin berbeza dan janji terakhir ialah mengambil alih kuasa pada 16 September 2008, sempena perayaan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia.

Yang menarik peranan Anwar dalam KeAdilan (apabila mula ditubuhkan semenjak 1999) hingga hari ini, PKR dan kerjasama dengan Pembangkang (bermula dengan Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat) ialah beliau masih sebagai “Penasihat PKR”, walaupun telah di’bebas’kan dari ‘edah’ sebagai banduan (semenjak 14 April 2008). Beliau tidak mempunyai jawatan eksekutif sebenar dan keahlian dalam PKR sendiri diragukan. Ini kerana ramai yakin bahawa Anwar masih menaruh harapan kembali kedalam UMNO (hanya wadah yang praktikal untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia) dan menyertai parti seperti PKR hanya mengurangkan kebarangkalian kembali kedalam UMNO.

Kini, Anwar dituduh semula kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan. Maka berlaku drama/sandiwara semula. Anwar ‘hilang’ dan lari dalam percubaan mencari suaka di Kedutaan Besar Turki. Kemudian mendakwa nyawa beliau diancam. Yang menghairankan ialah sehari selepas keluar dari Kedutaan Turki, beliau berucap di khalayak sekurang kurangnya 10,000 di Stadium Malawati Shah Alam; rasmi seorang yang nyawanya tidak langsung diancam.

Pelbagai helah diberikan untuk mencari sebab tidak tampil membantu siasatan Polis. Ini termasuk baru baru ini dakwaan dimana berlaku konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Peguam Negara ketika itu Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dan beberapa pegawai tinggi Polis lain dalam fabrikasi tuduhan dan siasatan, semasa beliau ditahan 10 tahun dahulu.

Anwar juga membuat laporan qazaf di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, dalam usaha beliau merumitkan lagi keadaan, terutama siasatan Polis belum lagi selesai dan sebarang pertuduhan dalam Mahkamah Jenayah belum pun bermula. Mursyidul Am PAS Nik Aziz bersetuju dengan cadangan muhabalah antara Saiful dan Anwar diadakan dimana semua diminta bersumpah dengan Al Quran. Walaubagaimanapun, Anwar berdolak dalih dengan cadangan bersumpah ini.

Untuk memberikan warna yang lebih abstrak, reaksi Amerika Syarikat setiap kali Anwar dituduh dalam kes jenayah bawah Kanun Keseksaan amat membinggungkan. Pada sidang APEC Oktober 1998, Naib Presiden Al Gore membuat ucapan menyokong ‘Reformasi’ di majlis makan malam APEC di PWTC. Kemudian Mantan Duta Besar AS ke Malaysia John C. Mallot itu begitu aktif terlibat dengan gerakan “Free Anwar Campaign”. Pegawai politik Kedutaan Besar AS juga terlibat dalam memerhati dari dekat semua Pilihraya Kecil dan Umum yang dijalankan, terutama dimana Anwar terlibat secara aktif, seperti Ijok. Yang terbaru ialah kenyataan Jabatan Negara AS member amaran kepada Kerajaan Malaysia, tatkala kes liwat terbaru ini belum pun habis siasatan Polis.

Anwar juga amat akrab dengan Yahudi Neo Conservative yang pro Zionis, berpusat sekitar Washington D.C. Beliau kini menjadi tokoh yang mendapat perhatian dekat penganalisa politik antarabangsa, termasuk Israel.

Maka bermulah siri baru drama/sandiwara, yang dimainkan secara licik dan terancang untuk emosi sebilangan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa diperkuda, dengan segala tuduhan liar dan memanipulasi fakta dan sistem perundangan yang ada; persis wayang sarkas!

Sekiranya drama/sandiwara akan bermula ini merupakan persembahan thema lama, maka wajar peringatan ini dibuat; Ada bidalan Inggeris yang berasal dari dramatis terkenal William Shakespeare, “The bigger the lie is, the more people would believe in it!”.

No comments: