KUALA LUMPUR 3 Julai - Pakatan pembangkang kini menggunakan perang psikologi dengan menimbulkan spekulasi mengenai beberapa wakil daripada Barisan Nasional (BN) akan menyertai mereka.
Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, spekulasi yang ditimbulkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan mengalih perhatian pupuk pimpinan BN untuk menyelesaikan konflik tersebut.
''Mereka harap taktik itu akan menyebabkan kerajaan BN hilang tumpuan untuk menguruskan soal pembangunan negara dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Anwar bahawa empat ahli Parlimen BN akan menyertai pakatan pembangkang dalam tempoh terdekat.
Semalam, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut memberitahu, sasaran pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini tidak berubah dengan perkembangan terbaru membabitkan tuduhan liwat terhadap Anwar.
Menurut Veerasingam, semua spekulasi dan dakwaan yang dibuat oleh PKR hanyalah khabar angin semata-mata dan ia tidak akan menjejaskan keyakinan parti komponen BN terhadap kerajaan sekarang.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, ahli Parlimen BN perlu menjaga maruah mereka sebagai wakil rakyat dan taat setia kepada parti.
''Mereka mesti kekalkan pilihan yang dibuat oleh rakyat malah jika ingin menukar keahlian parti, tunggulah sehingga pilihan raya akan datang," ujarnya.
Siang Chai berkata, hasrat Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini bukan perkara mudah malah ia suatu yang mustahil.
''Dalam pada itu, pucuk pimpinan BN mesti mengambil tindakan sewajarnya untuk mengukuhkan parti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi menerusi mesyuarat," jelas beliau.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron menegaskan, penubuhan kerajaan yang diterajui pembangkang sebagai 'fatamorgana' Anwar dan penyokongnya malah ia tidak mungkin akan terlaksana.
Menurut beliau, Anwar berperanan sebagai jurulatih yang sentiasa memberi harapan palsu kepada penyokongnya.
''Seperti fatamorgana, impian dan harapan disemai oleh Anwar kepada penyokongnya supaya terus taat bekerja untuk kepentingan beliau,'' ujarnya.
Idris menambah, nama ahli-ahli Parlimen BN yang dikatakan akan lompat parti itu hanyalah serkap jarang semata-mata dan tidak logik.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pula berkata, pembangkang hanya memasang angan-angan dengan hasrat untuk menubuhkan kerajaan.
''Mereka boleh terus bercakap, namun yang pasti, ia tidak mungkin berlaku pada bila-bila masa pun," katanya.
Noraini menjelaskan, hubungan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan ahli-ahli Parlimen Semenanjung sangat baik, maka tidak timbul soal mereka akan keluar parti untuk sertai pembangkang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment