Showing posts with label BERNAMA. Show all posts
Showing posts with label BERNAMA. Show all posts

Monday, September 8, 2008

LIWAT PERLU DIPERIKSA TELITI

KUALA LUMPUR: Seseorang doktor sukar untuk menilai dengan tepat apabila memeriksa pesakit yang mendakwa diliwat beberapa minggu atau beberapa bulan sebelumnya memandangkan beberapa tanda di bahagian tertentu mungkin tidak kelihatan.

Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia (MSCRS) dalam satu kenyataan menjelaskan pengamal perubatan boleh membuat diagnosis kemasukan secara paksaan dalam dubur jika mangsa diperiksa awal seperti sejurus atau beberapa hari selepas kejadian kerana tanda diliwat mungkin masih ada.

Presidennya, Dr Akhtar Qureshi dan Naib Presiden Dr Yunus Gul berpendapat penggunaan objek tumpul yang dimasukkan secara paksa ke dalam dubur mungkin menyebabkan tanda klinikal yang sama seperti diliwat dan ia 'memerlukan pemeriksaan terperinci se-belum sesuatu rumusan atau diagnosis dibuat.'

"Seseorang yang sudah lama terbabit dalam perlakuan seks luar tabii mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda trauma pada pemeriksaan klinikal selain mungkin tanda kelonggaran pada otot lubang dubur. Adalah lebih baik mangsa diperiksa oleh pakar bedah kolorektal," kata mereka dalam kenyataan itu.

Persatuan itu mengeluarkan kenyataan berkenaan untuk memberikan pandangan mereka sebagai pakar perubatan berhubung laporan media baru-baru ini mengenai kes liwat dan pelbagai dakwaan terhadap faktor yang menentukan kes liwat.

Kedua-dua doktor itu juga berpendapat media dan individu adalah tidak bertanggungjawab jika membuat pelbagai spekulasi berhubung satu insiden terutama apabila butiran penuh tidak diperoleh.

Mereka juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican baru-baru bahawa sejarah, pemeriksaan perubatan lengkap dan pemeriksaan tertentu, termasuk penilaian spesimen daripada tubuh oleh unit forensik mesti dilakukan bagi menilai kes seumpama itu.

Dr Akhtar dan Dr Yunus juga menjelaskan bahawa: "Kalangan pegawai perubatan yang menangani kes baru-baru ini telah dihakimi secara tidak adil kerana butiran terperinci mengenai apa yang berlaku adalah kabur dan sepatutnya diadili oleh mahkamah perundangan di mana keterangan boleh didengar dan dinilai dengan lebih terperinci oleh pakar."

Pada 25 Ogos, Dr Ismail berkata seorang doktor tidak boleh membuat laporan perubatan secara muktamad dalam kes seksual, termasuk liwat kecuali beliau melengkapkan empat pemeriksaan penting terhadap mangsa.

Beliau mengulas risalah yang diedarkan kepada orang ramai yang dikatakan laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dilakukan di Hospital Pusrawi oleh pegawai perubatan, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid. - Bernama

Tuesday, September 2, 2008

JANGAN KETEPI KEPENTINGAN MELAYU

PENGKALAN HULU 2 Sept. — Badan Perhubungan UMNO Perak meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin supaya tidak mengetepikan kepentingan orang Melayu dan Islam walaupun negeri itu diperintah pembangkang.

Setiausaha Kerjanya Datuk Hasbullah Osman berkata tindakannya meluluskan 400 hektar tanah kepada sembilan sekolah persendirian Cina menjadi tanda tanya apabila kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar dari parti Pas itu gagal melihat kepentingan untuk membantu orang Melayu selepas negeri itu diperintah pembangkang.

Hasbullah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Temenggor dalam Parlimen Gerik berkata Mohamad Nizar perlu memikirkan kepentingan orang Melayu walaupun tindakan meluluskan tanah itu bukan satu kesalahan.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan bubur lambuk kepada masyarakat Islam di Pekan Pengkalan Hulu petang semalam.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin menyatakan kekesalan dengan tindakan kerajaan Perak berhubung perkara itu dan meminta Menteri Besar itu bersikap adil dalam membantu rakyat.

Beliau berkata rakyat akan menuduh kepimpinan negeri terutama Menteri Besar tidak tahu mentadbir negeri dengan hanya membantu satu pihak dan mengabaikan pihak lain. — BERNAMA

Sunday, July 20, 2008

SOKONGAN BESAR ANGGOTA PARTI

KEPALA BATAS 20 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman.

Beliau berkata formula itu diterima dengan baik oleh anggota parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti itu berjalan lancar.

“Nampaknya ada sokongan besar pada peringkat ini untuk saya dan Datuk Seri Najib Tun Razak terus memegang jawatan masing-masing,” katanya ketika merasmikan persidangan kelompok cawangan-cawangan Umno bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno berkata peralihan kuasa itu juga diharap dapat mengelakkan perpecahan yang akan memberi kesan buruk kepada parti serta menjejaskan usaha menjayakan program pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan.

Katanya tindakan itu juga sekali gus meredakan kegelisahan dalam kalangan anggota parti yang bimbang perebutan jawatan di peringkat tertinggi akan membawa kepada perpecahan parti.

Abdullah berkata kebiasaannya rakyat akan menyatakan bahawa persaingan hanya berlaku di peringkat atas kerana di peringkat itulah sering berlakunya perebutan jawatan.

“Umno tiada masalah, begitu juga di peringkat akar umbi dan cawangan. Kekuatan Umno tetap ada tetapi di atas pula jangan berlaku kelemahan,” katanya.

Katanya pemilihan jawatan di peringkat tertinggi seperti Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT) bukan sahaja mendapat perhatian anggota parti malahan turut menjadi tumpuan negara luar yang mempunyai hubungan perniagaan dan pelaburan dengan Malaysia.

Beliau berkata kepimpinan parti akan membawa pengaruh kepada kepimpinan kerajaan dan kebanyakan daripada mereka yang dipilih di peringkat MT akan memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Sementara itu, Abdullah yang juga Ketua Bahagian Kepala Batas mengingatkan anggota parti yang ingin bertanding dalam pemilihan parti supaya mematuhi garis panduan dan etika yang ditetapkan bagi mengelakkan persengketaan yang boleh memecahbelahkan perpaduan parti. - BERNAMA.

Monday, July 14, 2008

USAHA TERBARU KURANGI BEBAN RAKYAT

PUTRAJAYA 13 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mengumumkan Jumaat ini satu lagi langkah untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga minyak.

“Jumaat ini, kita akan lancarkan sesuatu untuk membantu meringankan penggunaan petrol dan membantu mengurangkan kos, bebanan dan perbelanjaan pemandu teksi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran lanjut kerana ia akan diumumkan pada Jumaat ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah terbaru kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak dan bahan makanan dalam temu ramah khas dengan Bernama dan Radio RTM di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di sini semalam.

Abdullah berkata, tumpuan kerajaan ialah kepada tindakan-tindakan ke arah mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat termasuk berjimat-cermat.

Mengenai harapan rakyat supaya menteri dan perdana menteri turun padang melihat masalah kenaikan harga barang, Abdullah berkata: “Saya (akan) jumpa rakyat dan jelaskan kepada mereka, jika tidak nanti pembangkang yang akan jelaskan.”

Menurut Abdullah, pihak pembangkang tidak membuat apa-apa untuk mengurangkan beban rakyat.

“Depa (mereka) cakap saja. Cakap lebih daripada janji,” katanya yang jelas merujuk kepada janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya pembangkang akan menurunkan harga minyak esok jika memerintah hari ini.

Mengulas mengenai rancangan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk berdebat dengan Anwar yang dijadualkan Selasa ini termasuk mengenai isu kenaikan harga minyak, Abdullah berkata: “Saya kira Ahmad Shabery bertekad untuk melakukannya. Beliau betul-betul tekad yang beliau dapat melakukannya dan beliau seorang pemidato yang bagus.

“Jika beliau gagal, dia kata dia akan jumpa Pak Lah, sila ambil orang lain untuk jaga Angkasapuri. Tetapi beliau seorang yang bagus, boleh dikatakan tiap minggu program kementerian beliau hadir.”

Mengenai perkembangan semasa terdapat pemimpin-pemimpin parti politik yang cenderung untuk memperluaskan isu perkauman, Abdullah berkata, jangan dimulakan gejala itu.

“Ini tidak baik, perlu ada batasnya. Jangan. Ini seperti bermain dengan api. Jangan bermain dengan api dalam isu yang sensitif,” katanya.

Perdana Menteri menyifatkannya sebagai politik jalan singkat untuk menjadi popular dan mendapat undi serta menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahukan BN sentiasa kuat sepanjang masa.

“Saya tahu keputusan pilihan raya (umum lepas) itu teruk. Tetapi rakyat masih beri kita amanah untuk memimpin (negara). Kami perlu lakukan lebih banyak lagi, kami perlu bekerja keras. Kami tiada pilihan lain,” katanya.

Beliau mahukan parti-parti komponen BN memberikan tumpuan tenaga dan fokus mereka kepada rakyat tanpa ada gangguan lain.

“Dengar (keperluan) rakyat. Insya-Allah kita akan okay. Bukan depa (rakyat) benci sangat dengan kita,” katanya.

Saturday, July 12, 2008

PKR MAHU UMUM MEKANISME MINYAK

SEREMBAN 11 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah beliau bagi mengurangkan harga minyak akan diumumkan pada Selasa ini semasa debat beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Bukan nak turun sama harga (minyak) dengan Venezuela tapi turun sekurang-kurangnya agar rakyat boleh hidup. Kita bukan janji kosong, takbur atau bohong untuk mengatasi masalah ini," katanya pada satu ceramah di sini malam tadi.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional telah menyalah urus ekonomi sehingga rakyat dibebankan dengan harga minyak dan barang.

"Negara ini hendaklah diselamatkan untuk faedah semua rakyat. Ini soal kita, bukan soal masa depan Anwar," katanya.

Mengenai debat itu, Anwar berkata, setakat ini beliau tidak tahu sama ada ia akan diteruskan atau tidak.

"Ada kemungkinan tidak jadi tapi saya harap debat ini diteruskan," katanya.

Debat itu dianjurkan oleh portal berita AgendaDaily diberi tajuk Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak dijadual berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar sebelum ini dilaporkan pernah berjanji akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja jika partinya membentuk kerajaan.

- Bernama

Wednesday, July 9, 2008

MINYAK JET DARI SISA MINYAK MASAK?

BANGI, 8 Julai (Bernama) -- Selepas ini bila anda menggoreng ikan, jangan buang sisa minyak masak itu kerana ia boleh dijadikan minyak untuk jet.

Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah mencipta minyak jet yang baru dengan menggunakan sisa minyak masak.

Naib-Canselor Uniten Datuk Dr Mashkuri Yaacob hari ini berkata pihak universiti mengambil masa kira-kira enam tahun untuk menghasilkan biodiesel daripada sisa minyak masak itu.

Minyak jet yang baru itu dijangka diuji untuk penerbangan dalam masa tiga bulan akan datang memandangkan komposit pesawat yang baru dicipta dan dinamakan Jetpod oleh Avcen Limited, syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di United Kingdom, kini dipasang di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Pesawat itu dicipta untuk pelbagai kegunaan seperti jet eksekutif dan ambulan udara.

Uniten hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Avcen Limited untuk memaju dan membekalkan minyak jet yang baru bagi Jetpod, di Uniten di sini.

Uniten diwakili oleh Dr Mashkuri manakala Pengarah Urusan Mike Dacre yang juga pencipta Jetpod menandatangani memorandum itu bagi pihak syarikat berkenaan.

Dr Mashkuri berkata penggunaan sisa minyak masak sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel dimulakan di Uniten pada November 2002 melalui projek yang dinamakan Kajian Potensi Tenaga daripada Sisa Minyak Masak di Malaysia.

Dianggarkan lebih kurang dua hingga tiga bilion liter minyak masak berasaskan sayur digunakan setiap tahun di Malaysia dan jumlah yang besar itu biasanya berakhir ke dalam sungai yang boleh menyebabkan pencemaran.

"Menukar sisa minyak masak kepada biodiesel adalah sesuatu yang mencabar kerana perlu mengendalikan parameter yang besar untuk mengeluarkan hasil yang menepati standard antarabangsa," kata Dr Mashkuri.

Beliau berkata sisa minyak masak yang dihasilkan Uniten memenuhi piawaian United States' National Biodiesel Board.

Beliau berkata ia adalah satu kejayaan bagi kajian biodiesel oleh Uniten dan pendapatan hasil mengkomersialkan kajian melalui usahasama dengan Avcen Limited akan membolehkan pihak universiti membiayai kajian lain.

Dacre berkata Jetpod yang kini dipasang di Taman Teknologi, menggunakan 60 peratus komponen keluaran tempatan.

Beliau berkata Jetpod boleh berlepas dan mendarat di landasan sepanjang 125 meter, dengan kelajuan 375 knots serta mampu mengurangkan bunyi bising.

PM BANGGA GT DAN MELAKA DIIKTIRAF UNESCO

Oleh Rosyatimah Tukimin

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri yang bangga atas pengisytiharan George Town dan Melaka sebagai tapak warisan dunia, mahu usaha dibuat bagi meningkatkan lagi kemudahan dan kebersihan kedua-dua bandar raya tersebut.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kedua-dua kerajaan negeri itu perlu mengambil peluang daripada pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu, yang diumumkan semalam.

Pada masa yang sama, beliau mahu usaha dipergiatkan bagi memperbaiki kemudahan, kebersihan serta mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh menarik lebih ramai pelancong berkunjung di kedua-dua bandar itu.

"Saya gembira mendengar berita bahawa Unesco menerima George Town (Tanjung Penaga) dan Melaka sebagai tapak warisan dunia.

"Ini besar ertinya, iaitu walaupun dengan segala usaha yang kita jalankan selama ini untuk memodenkan negeri Melaka dan Pulau Pinang, kita tidak lupa menjaga apa yang telah pun menjadi warisan kepada kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdullah berkata secara keseluruhanya semua kawasan yang indah dan tidak tercemar dalam negara, harus terus dipulihara.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut adalah berkat usaha gigih Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, yang ketika itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau juga mengucapkan tanniah kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.