Thursday, July 3, 2008

MALAYSIA PRIHATIN TERHADAP ISU KEMANUSIAAN

oleh : M. Perry

Baru-baru ini rakyat Malaysia telah membantu mangsa bencana alam Myanmar dan China mengikut keadaan kemampuannya. Sebagai contoh, Malaysia telah menghantar barang-barang keperluan asas termasuk alat-alat perubatan melalui pesawat tentera Malaysia ke Myanmar.

Barang-barang keperluan asas termasuk perubatan yang bernilai 1.2 juta juga dihantar kepada mangsa bencana alam di China. Namun ada pihak yang sangsi terhadap keikhlasan Malaysia membantu mangsa bencana alam di luar negara malah mendakwa kerajaan Malaysia kurang prihatin dan pilih kasih dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana alam.

Sehubungan ini, penjelasan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada hari ini harus direnung sebagai satu penjelasan yang ikhlas dan terbuka bahawa Malaysia tidak pernah pilih kasih dalam memberi bantuan kepada mana-mana mangsa bencana alam di dunia. Beliau dalam menjawab kepada pertanyaan MP Kepong menjelaskan bahawa bencana alam di negara China berlaku pada 12 Mei 2008 dan kerajaan Malaysia telah mengadakan mesyuarat untuk mencari jalan membantu mangsa-mangsa tersebut pada 13 Mei 2008. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia bertindak cepat dalam membantu mangsa malah prihatin dan bermurah hati tanpa mengira perbezaan negara.

Dakwaan daripada MP Pembangkang bahawa Malaysia pilih kasih atau melambat-lambatkan penghantaran bantuan bencana alam amat tidak berasas. Bantu-membantu adalah amalan rakyat Malaysia malah menjadi budaya rakyat Malaysia.

No comments: