Oleh SOBRI SUDIN
(Utusan Malaysia)
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pengamatan penulis tidak lebih daripada seorang politikus yang matlamatnya ialah kuasa. Sebab itu dalam kes terbaru berhubung dakwaan liwat ke atasnya, penulis amat bersetuju dengan pandangan Ezam Mohd. Noor bahawa isu ini ialah isu peribadi, kenapa harus melibatkan dimensi politik.
Paling rasional pandangan beliau ialah, jika kerajaan mahu berkonspirasi, amatlah dangkal jika mahu menggunakan isu atau modal yang sama.
Isunya, Anwar dengan kekuatan oratornya, bahasa badannya dan pengaruh yang telah disemai khusus kepada pengikut dan penyokong taksub terutama dalam PKR dan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) yang lain mahu mengajak penyertaan 'massa' untuk menyebelahi dirinya dalam apa jua perkara, termasuk tuduhan yang terbaru.
Persoalannya apa istimewanya Anwar? Apakah beliau begitu tebal imunitinya. Apakah jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan jaringan hubungan beliau yang luas dengan pimpinan dan masyarakat antarabangsa membolehkan beliau bebas mengkritik, mengada-adakan segala tuduhan beraneka terhadap kredibiliti institusi Polis Diraja Malaysia, kehakiman dan perundangan negara?
Kenapa dalam isu tuduhan yang dihadapinya harus melibatkan kalangan rakyat terbanyak yang tidak berdosa. Rakyat umum punya banyak tugas dan tanggungjawab lain yang lebih utama berbanding saban hari menumpukan kepada kes atau isu Anwar.
Sebagai rakyat bawahan, ramai yang amat tertarik untuk mengetahui siapa yang mahu membunuhnya seperti yang diura-urakan dan agensi risikan negara mana yang memberitahu beliau, bahawa dirinya menjadi sasaran pembunuhan?
Hakikat dan isu kononnya tuduhan dan laporan polis yang dibuat adalah satu konspirasi terlalu subjektif. Jika semua orang berkonspirasi, menunjukkan kerja pimpinan kerajaan sepanjang masa hanyalah memikirkan tentang bagaimana mahu menjatuhkan Anwar, sedangkan kebanyakan pemimpin hebat di dunia sekalipun jatuh akibat kelemahan, kealpaan dan kesilapan diri sendiri.
Kemungkinan besar, rakyat umum sudah jemu dengan aksi politik, kemelut pelbagai yang bakal menyusahkan mereka. Rakyat umum tidak perlu lagi diajak untuk terlibat dalam demonstrasi, menghabiskan masa di kedai kopi sekadar untuk membela agenda peribadi individu tertentu.
Negara ini punyai mahkamah, meskipun Anwar menggelarkan mahkamah negara sebagai kangaroo court. Negara mempunyai sistem perundangan yang cukup lengkap, pasukan polis yang sejak 200 tahun berperanan memastikan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
Dalam keadaan krisis kenaikan harga barang, ancaman kemelesetan ekonomi sedunia, tekanan harga bahan bakar, Anwar dinasihatkan tidak usahlah ke sana-kemari, berceramah sepanjang masa sekadar akhirnya mengulang-ulang perkataan yang sama; "Saya dianiaya," "Saya difitnah" dan "Kesemua ini konspirasi untuk jatuhkan saya."
Jika orang lain boleh merelakan diri mereka diadili oleh mahkamah dan sistem perundangan yang sama, dan disiasat oleh PDRM yang sama kenapa tidak beliau? Bukankah dari peringkat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Luar memberi jaminan ketulusan dan keadilan dalam perbicaraan beliau nanti, satu jaminan yang rakyat lain tidak pun pernah perolehi.
Jika kerajaan mahu berkonspirasi, pakatan rakyat tidak mungkin menang di lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu. Jika mahu diadakan darurat demi mengekalkan legasi kuasa BN, kerajaan sudah tentu melakukan sesuatu sebaik sahaja keputusan pilihan raya itu diketahui?
Jika adanya cubaan membunuh Anwar, tidaklah beliau bebas menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen, berceramah selain bebas keluar masuk dari satu negara ke negara yang lain.
Hakikatnya majoriti rakyat sudah tidak minat akan kisah Anwar, agenda baru sekarang ialah bagaimana mahu ditingkatkan pendapatan isi rumah, perolehan pendapatan keluarga, kesejahteraan pendidikan anak, keharmonian hidup berbilang kaum dan usaha meredakan tekanan kos kehidupan yang meningkat.
Justeru, agenda baru rakyat Malaysia ialah membina kehidupan lebih dinamik, sejahtera dan makmur bukan lagi menjadi peserta demonstrasi, disimbah dengan pancutan air asid atau mendengar ucapan berapi-rapi semata-mata untuk memenangkan agenda peribadi golongan tertentu.
Barangkali, inilah harga yang harus dibayar oleh setiap ahli politik tatkala mereka itu mengisytiharkan diri untuk terjun dan bergiat aktif di bidang yang penuh dengan cabaran dan ujian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment