Friday, August 15, 2008

HISHAMMUDDIN - PEMUDA BN TIDAK LAYAN PROVOKASI PKR

Friday, August 15 @ 14:22:52 MYT

Oleh S.A Najmuddin (http://www.pemuda.com.my)

Butterworth –- Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak akan terperangkap dengan sebarang bentuk provokasi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jentera BN tidak akan melayani sebarang bentuk provokasi murahan, sebaliknya akan memberikan tumpuan kepada gerak kerja dan strategi parti dalam usaha memastikan kemenangan BN pada pilihan raya tersebut.

Menurut beliau jentera Pemuda BN telah dididik serta diasuh dengan penuh disiplin untuk menentang lawan mereka dan bukannya digilap mantap untuk melakukan sesuatu yang tidak diingini dalam mana-mana kempen pilihan raya.

“Parti lawan sudah pasti akan mencabar kesabaran kita sepanjang tempoh kempen nanti. Tambahan pula ini merupakan kubu kuat mereka dan kita sudah masak dan faham dengan tingkah laku mereka dalam pilihan raya sebelum ini.

“Sebab itulah saya beri penekanan agar jentera kita bersabar dan tidak terpengaruh dengan provokasi mereka. Ini merupakan peringatan awal kita dan Pemuda BN akan mendekati akar umbi untuk menyampaikan maklumat dan informasi yang benar demi kebaikan dan kepentingan mereka di Permatang pauh ini.

“Malah komitmen Pemuda BN di semua peringkat berada dalam momentum yang cukup tinggi untuk membantu BN berdepan dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan mesyuarat Khas Pemuda BN di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Sdr Khairy Jamaluddin, Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abd Rahman Dahlan, Bendaharinya, Datuk Abd hamid Nazahar dan Ketua-Ketua Pemuda parti komponen termasuk daripada Sabah dan Sarawak.

AntaranyaDatuk Liow Tiong Lay (Pemuda MCA), Datuk Seri Tiong King Seng (SPDP), T Mohan (Pemuda MIC), T Murugiah (Pemuda PPP), Donald Peter Mojuntin (Pemuda UPKO), Jahid Jahim (Pemuda PBS) dan Chin Shu Ying (Pemuda LDP).

Hishammuddin yang juga Ketuan Pemuda UMNO seterusnya menaruh keyakinan BN mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sekiranya strategi kempen yang dijalankan memenuhi cita rasa penduduk tempatan.
Justeru katanya pergerakan itu akan berjuang habis-habisan untuk memastikan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah mencapai kemenangan kelak untuk memberi khidmat pembelaan terbaik kepada penduduk Permatang Pauh.

“Bukan sesuatu yang mustahil bagi penduduk di kawasan berkenaan untuk menukar undi mereka kali ini sekiranya calon yang dipilih memenuhi cita rasa mereka.
‘‘Walaupun Permatang Pauh adalah kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun berdasarkan sejarah, mereka boleh menukar undi, jadi bukan alasan kenapa mereka tidak boleh mengundi calon BN,” katanya.

No comments: