Wednesday, August 27, 2008

Bank data DNA beri suspek keadilan

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Penubuhan Bank Data Forensik Asid Deoksiribonukleik (DNA) bukan sahaja dapat membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah tetapi memberi keadilan kepada suspek dalam sesuatu kes jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, suspek terbabit akan dilepaskan jika analisis DNA mendapati mereka tidak ada kaitan dengan sesuatu kes dan langkah itu dapat mengelak daripada berlakunya kes salah tangkap.

‘‘Ia bukan sahaja mencari atau mengecam penjenayah tetapi memberi keadilan kepada orang yang tidak bersalah. Melalui analisis DNA, seseorang itu dapat membuktikan dia tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Identifikasi DNA 2008 yang dibacakan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat hari.Syed Hamid turut mengulangi kenyataannya bahawa bank data itu bukan diwujudkan kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya.

Menurutnya, ia tiada kena mengena dengan Anwar kerana kerajaan sebenarnya telah merancang untuk menggunakan analisis DNA sejak tahun 2000.
‘‘Kadar kejadian jenayah kekerasan yang semakin meningkat, begitu juga dengan kompleksitinya memerlukan teknik dan peralatan canggih bagi membantu penyiasatan kes oleh agensi terlibat dengan cepat dan adil,” katanya. Syed Hamid memberitahu, rang undang-undang itu diwujudkan bertujuan menubuhkan Bank Data DNA Forensik Malaysia untuk mengambil, menyimpan dan menganalisis sampel DNA bagi tujuan kemanusiaan.

Katanya, data DNA juga boleh digunakan untuk membantu mengenal pasti identiti jasad manusia dalam kejadian bencana, kemalangan atau kebakaran serta mangsa jenayah.‘‘Sememangnya rumusan dalam penyelesaian sesuatu kes jenayah bergantung pada siasatan yang dijalankan dan salah satu pendekatan efisien dalam mengendalikan kes jenayah berat ialah melalui forensik,” jelasnya.

Menurutnya, sampel DNA mengandungi maklumat genetik seseorang yang ketepatan padanannya adalah 99.9 peratus dan teknologi tersebut telah digunakan secara meluas di negara lain sejak tahun 1980-an lagi.‘‘Bagi Malaysia setakat ini, beberapa kes telah diselesaikan dengan pendekatan analisis DNA iaitu melibatkan kes rogol dan bunuh Allahyarham Nor Suzaili Mokhtar dan mendiang Canny Ong,” tambahnya.

Kes-kes pembuangan bayi juga kata beliau, akan dapat diselesaikan kerana sampel bayi berkenaan boleh dianalisis dan mengesan ibu bapa bayi berkenaan. Sementara itu, Ismail Kassim (BN-Arau) yang menyokong rang undang-undang tersebut berkata, sudah tiba masanya pihak polis menggunakan teknologi tinggi dalam menjalankan siasatan terhadap jenayah-jenayah yang berlaku.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kewujudan akta tersebut sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.Terdahulu, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) membantah pembentangan rang undang-undang itu kerana sepatutnya Rang Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dibentangkan dahulu berdasarkan kepada aturan urusan mesyuarat sebelum ini.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments: