Monday, August 25, 2008

Saingan bertukar rentak * Semakin ramai pengundi atas pagar memihak kepada BN

BUKIT MERTAJAM 24 Ogos – Selepas sembilan hari berkempen, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang awalnya dipandang mudah oleh pakatan pembangkang bertukar rentak setelah jentera Barisan Nasional (BN) memberi tentangan sengit menjelang hari pengundian Selasa ini.

Walaupun pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru namun pemerhati melihat hanya dua parti mendominasi persaingan iaitu BN yang diwakili calonnya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang lagi calon daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat walaupun kurang dikenali namun beliau dipercayai akan mendapat sedikit sokongan daripada para penyokong Pas. AKIM ialah parti serpihan Pas.

Selasa ini, 58,459 pengundi berdaftar di P.044 Parlimen Permatang Pauh bukan berdepan dengan pilihan raya kecil biasa tetapi pilihan raya yang bakal menentukan corak landskap politik negara.

Dalam pilihan raya itu, Arif, 52, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya serta fasih berbahasa Mandarin dan Hokkien mempertaruhkan reputasi cemerlangnya dalam menyelesaikan banyak masalah penduduk setempat.

Arif yang bertekad untuk mengakhiri sumpahan 10 tahun BN gagal menguasai kawasan Parlimen itu meminta para pengundi memilih calon yang menetap di Permatang Pauh agar wakil rakyat itu nanti dapat berkhidmat kepada rakyat tempatan sepanjang masa.

Menurutnya, hasil laporan kempen BN yang diterimanya setiap malam yang dibuat sejak hari penamaan calon menunjukkan sokongan meningkat dari hari ke hari yang sehingga kini mencapai sekitar 40 hingga 50 peratus.

Kata beliau, semakin ramai pengundi atas pagar di kawasan hitam iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan Permatang Pasir yang sebelum ini dikuasai oleh pembangkang mula memperlihatkan sokongan kepada BN.

“Saya yakin penduduk Permatang Pauh mahukan perubahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini.

Anwar, pesaing Arif Shah, yang mendapat laluan daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang secara mengejut mengosongkan kerusi Parlimen itu berkata, berapa besar undi majoriti dalam pilihan raya kecil itu bukan perkara penting asalkan beliau memenanginya.

“Saya tidak fikirkan pasal majoriti. Kecil ke, besar ke, yang penting menang,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pemimpin PKR memberitahu sidang akhbar hari ini kononnya Anwar, 61, akan mendapat majoriti lebih besar iaitu 15,000 undi berbanding undi majoriti 13,338 yang diperoleh oleh Dr. Wan Azizah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Pada Mac lalu, Dr. Wan Azizah yang memperoleh 30,338 undi mengalahkan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang cuma mendapat 16,950 undi.


Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, isu moral Anwar menjadi tajuk perbualan ramai selepas bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, melafazkan sumpah laknat bahawa dia diliwat oleh penasihat PKR tersebut.

Walaupun dicabar oleh Mohd. Saiful dan beberapa pemimpin agama supaya melakukan sumpah yang sama namun sehingga malam ini Anwar tetap menolak dengan alasan tidak mahu sumpahnya dimanipulasi.

“Sumpahlah 50 kali pun saya tidak peduli,” kata Anwar dalam beberapa ceramahnya di beberapa lokasi di Permatang Pauh.

Anwar yang merupakan penyandang kerusi itu dari 1982 sebelum dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 juga sentiasa menggambarkan ‘kemenangannya’ nanti akan menjadi ‘titik tolak kepada pembentukan kerajaan baru’.

Walaupun sejak hari pertama kempen lagi beliau menguar-uarkan seramai 30 wakil rakyat BN akan melompat ke pakatan pembangkang sebagai ‘asas pembentukan kerajaan baru’ yang bermula 16 September ini, namun ia disanggah keras oleh kepimpinan BN.

“Ini (pilihan raya kecil) bukan soal saya dengan Arif tetapi dengan UMNO dan polisi-polisinya,” kata Anwar.

Penurunan harga minyak sehingga RM2 juga menjadi umpanan kempen Anwar walaupun ahli-ahli ekonomi menyifatkan ia hanya ‘janji kosong’ berikutan turun naik harga bahan api itu berkait rapat dengan harga pasarannya di peringkat global.

Hanafi, 61, pula semasa dihubungi malam ini tetap menaruh keyakinan partinya akan memperoleh lebih 5,000 undi berikutan sambutan menggalakkan masyarakat Permatang Pauh terhadap kehadiran AKIM.

“AKIM sasarkan mendapat 5,000 undi, tetapi berdasarkan penerimaan masyarakat di sini, kita yakin dapat lebih daripada itu. Jika ia berjaya dicapai, ia satu kemenangan buat AKIM dalam keadaan jentera kempen kami yang tidak lengkap,” katanya.

Seramai 5,000 anggota polis dikerahkan untuk memantau perjalanan kempen dan proses membuang undi Selasa ini bagi memastikannya berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan dan provokasi pihak tertentu.

SPR menjangkakan keputusan awal pilihan raya kecil itu dapat diketahui pada pukul 8 malam Selasa ini.

Sumber: Utusan Malaysia

*************************************************************************************

Citraadora

Penduduk Permatang Pauh telah celik mata dan semakin bijak mengambil keputusan yang terbaik demi masa depan mereka. Mereka mahukan perubahan. Omongan kosong yang diuar-uarkan PKR begitu menjelikkan dan tidak lagi melekat di hati mereka.

No comments: