Wednesday, August 27, 2008

Anwar Ibrahim angkat sumpah sebagai anggota parlimen esok

Oleh: Tulip Desa

27/08/2008 11:13am

KUALA LUMPUR 27 Ogos — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen esok, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin mengumumkan perkara itu sebelum memulakan sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.“Keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dah pun keluar dan keputusannya berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi beliau akan mengangkat sumpah esok,” katanya.

Beliau berkata segala urusan angkat sumpah dan aturan mesyuarat akan dimaklumkan kepada dewan kemudian. PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.
Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas mendapat hanya 92 undi.Sebanyak 447 undi rosak.

Sumber:Bernama

******************************************************************************

Tulip Desa

Tahniah buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti PKR. Nampaknya kemenangan menyebelahi mereka. Tarikh 28 Ogos 2008 merupakan tarikh bersejarah bagi DSAI dimana beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Nampaknya peluang Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat semakin cerah dan rakan-rakan pembangkang seakan tidak sabar menanti kehadiran sifunya.

Walaubagaimanapun, jangan terlalu gembira dengan kemenangan yang dimiliki. Apa yang penting selepas ini adalah mengotakan janji, jangan sampai ia menjadi umpan atau gula-gula semasa pilihan raya sahaja. Rakyat Permatang Pauh telah sepakat memilih beliau. Sehubungan itu, kemenangan di Permatang Pauh bukannya sandaran bagi DSAI untuk menggapai impiannya untuk membentuk Kerajaan pada 16 September ini. Bukan senang, hendak mendapatkan 30 kerusi kerana MP daripada BN tidak termakan pujuk rayu DSAI sebaliknya berdiri teguh di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri.

No comments: