Friday, August 22, 2008

TIADA MOTIF POLITIK : NAJIB

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penahanan dua Exco kerajaan negeri Perak oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mempunyai sebarang motif politik termasuk berkaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penahanan kedua Exco itu dilakukan oleh BPR setelah agensi penguat kuasa itu berpuas hati atas siasatan yang dijalankan.

Katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan parti diwakili kedua Exco berkenaan tidak boleh menuding jari ke arah kerajaan sebaliknya perlu melakukan persiapan sewajarnya untuk mempertahankan diri di mahkamah.

Jelas beliau, penahanan itu dilakukan berdasarkan fakta dan fakta tidak boleh direka begitu sahaja.

"Fakta siasatan tidak boleh diadakan, ia mesti berlaku dahulu sebelum BPR ambil tindakan, mesti ada pihak yang beri, pihak yang menerima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2008 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen di sini hari ini.
Najib berkata, beliau tidak terkejut dengan tuduhan pakatan pembangkang kononnya penahanan itu merupakan konspirasi politik kerana itu memang sudah menjadi tabiat pakatan tersebut apabila sesuatu perkara yang mengaitkan mereka berlaku.
Ditanya sama ada penahanan itu merupakan sesuatu yang memalukan buat pakatan berkenaan, beliau berkata, terpulang kepada tafsiran rakyat sendiri kerana baru lima bulan mereka membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau meminta rakyat memberikan peluang kepada semua yang terbabit melalui proses yang sewajarnya termasuk pengadilan di mahkamah sebelum membuat sebarang andaian.

Najib juga berkata, penahanan kedua Exco berkenaan sebenarnya memperlihatkan bahawa undang-undang tidak terkecuali untuk mana-mana pihak.

Dua Exco kerajaan negeri Perak bersama empat orang lagi ditahan oleh BPR kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
************************************************************************************

Wira berpendapat bahawa pembangkang akan memutar-belitkan apa saja yang berlaku sekarang termasuk penahanan orang kuatnya kerana terbabit dalam rasuah atau salahlaku seks.

Mereka mahu menggambarkan apa saja berlaku yang tidak menguntungkan mereka adalah kejadian "bermotifkan politik" dan meminta rakyat menolaknya.

Ini satu tindakan "desperado" oleh pembangkang terutama PKR kerana mereka mahu menang pada setiap masa termasuk Pilihan Raya Kecil Pematang Pauh.

Wira berpendapat pihak berkuasa tidak perlu melayan "cakap-cakap" politik murahan ini untuk menggambarkan agensi penguatkuasa mengikut telunjuk pihak tertentu.

Yang anehnya mereka akan menuduh BN rasuah jika ada anggota dan pegawai BN ditangkap kerana penyelewengan.

No comments: