Thursday, August 28, 2008

Beri semula lesen besi buruk dipersoal

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Ahli Parlimen Sri Gading (BN), Datuk Mohamed Aziz mempersoalkan langkah pihak berkuasa mengeluarkan 1,000 Lesen Berniaga Barang-Barang Lusuh (Besi Buruk) di Johor yang disifatkannya tidak munasabah.Menurutnya, peniaga besi buruk turut menjadi tumpuan pencuri yang mahu menjual besi yang mereka curi seperti pagar rumah, penutup lubang kumbahan serta longkang.

“Kalau dibuka semula lesen ini, ia akan menyebabkan pencuri berleluasa dan rumah kita tidak selamat kerana pagar rumah akan dipotong, apa sahaja yang boleh dijual akan dicuri.“Apa logiknya mahu membuka semula lesen tersebut sedangkan sebelum ini, Dewan Rakyat beberapa tahun lalu telah meminta supaya pemberian lesen besi buruk ditutup tetapi sekarang mahu dibuka semula, mengapa?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri membuka semula pemberian lesen besi buruk pada sidang Dewan Rakyat hari ini.Syed Hamid semasa menjawab soalan asal Dr. P. Ramasamy (DAP-Batu Kawan) memberitahu, pengeluaran lesen besi buruk di bawah Akta Barang-Barang Terpakai 1946 telah dibuka semula pada 12 Ogos lalu.

Menurutnya, pengeluaran lesen itu telah dibekukan pada tahun 2006 untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula Akta Barang-Barang Terpakai 1946, mengemas kini jumlah lesen perniagaan barang lusuh dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak mempunyai lesen serta mengawal masalah kecurian kabel, logam dan tembaga di seluruh negara.“Kementerian bagaimanapun menyedari kesusahan yang dihadapi peniaga, sehubungan itu kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula pengeluaran lesen tersebut bermula 12 Ogos lalu,” katanya.

Mohamed menegaskan, tindakannya mempersoalkan pengeluaran semula lesen besi buruk itu bukan untuk mendiskriminasi kaum lain, tetapi menegaskan pengeluaran lesen telah ditutup oleh polis tetapi mengapa ia hendak dibuka semula.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments: