Tuesday, August 19, 2008

P RAMLEE AKAN MENANGIS.....

Oleh: ROSLAN BIAN

KALAU Tan Sri P.Ramlee atau M.G.R (pelakon terkenal India) masih hidup, mereka pasti menangis melihat lakonan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Itu jawapan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ketika ditanya Agendadaily mengapa ada rakyat masih percaya Penasihat PKR itu bakal jadi Perdana Menteri pada 16 September ini.

Katanya, diantara pekerja (wakil rakyat) dan pelakon, Anwar adalah pelakon yang terbaik.
“Dia pandai buat cerita propaganda, fitnah serta janji-janji yang mengkhayalkan rakyat. Pada masa ini, ada yang rasa Anwar sedang dendangkan sesuatu yang enak tetapi tak jadi kenyataan,” ujarnya.

Sebab itu juga, tidak hairan dalam siri ceramah kempennya, Anwar terus guna beberapa nama ulama dan nama bekas presiden Filipina dan Indonesia seperti Corazon Aquino, Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) bagi menarik sokongan rakyat.

Padahal, pemimpin-pemimpin terbabit adalah kalangan mereka yang gagal mentadbir negara, terbabit rasuah malah membangkitkan kemarahan rakyat untuk menunjuk perasaan.
Pemimpin seperti inilah yang diagung-agungkan Anwar sebagai rakan yang sanggup menelefon menyatakan sokongan terhadap beliau.

Menurut Arif Shah, sebab itulah pengundi Permatang Pauh tidak boleh lagi mengambil risiko dengan membenarkan Anwar menang dalam pilihan raya ini.

“Rakyat atau pengundi di sini, tak boleh lagi khayal dengan cerita-cerita Anwar untuk menang dan jadi Perdana Menteri. Itu mimpi siang harinya.,” kata ADUN Seberang Jaya itu.
Katanya, cukuplah 10 tahun parlimen Permatang Pauh diwakili PKR sekaligus menyebabkan pembangunannya tertinggal berbanding kawasan lain.

Masalah ini menurut Arif Shah dapat dipulihkan jika beliau mewakili parlimen itu kerana akan menerima bantuan kerajaan Pusat.
“Apa guna kita berdepan kesakitan yang panjang sedangkan kita boleh hadapi kesakitan yang pendek,” ujar Arif memetik pepatah kaum Cina bagi mengambarkan inilah masa terbaik bagi pengundi Permatang Pauh meninggalkan duka lebih dua penggal diwakili Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Katanya, Azizah banyak menghabiskan masa memperjuangkan Anwar dan parti di Kuala Lumpur bukannya menyelesaikan masalah penduduk yang memilihnya.

“Kalau Anwar pula menang kali ini, beliau juga akan habiskan masa di sana (Kuala Lumpur) bersama pakatan rakyat. Kita kena tunggu empat tahun lagi untuk buat keputusan,” katanya.

Arif Shah berkata, beliau dan jentera kempen BN tidak akan menyentuh soal liwat mahupun sumpah oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana itu tidak kena mengena dengan parti, kerajaan atau dirinya.
“Saya tak akan sentuh isu liwat kerana itu isu peribadi. Apa yang penting (kempen) nak bagitau dah 10 tahun kita gadai nasib malang dengan PKR,” katanya.- 18/8/2008

No comments: