Thursday, August 21, 2008

DAP, PKR tak sehaluan

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila wakil pembangkang daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertelagah sesama sendiri berhubung isu kesaksamaan agama dan forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendidikan (pindaan) 2008, Chong Eng (DAP- Bukit Mertajam) telah menyentuh tentang prinsip kesaksamaan dalam Islam apabila menyatakan kedudukan Islam sama dengan agama lain begitu juga sekolah jenis kebangsaan yang sepatutnya mendapat layanan sama dengan sekolah kebangsaan.

Ekoran kenyataannya itu, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim/Bandar Baharu) bangun dan mahu memperbetulkan kenyataan Chong Eng dengan menjelaskan, Islam menghormati agama lain tetapi dalam soal kesaksamaan ia adalah berbeza terutama dari segi akidah.

''Walaupun Islam mengajar kita kesaksamaan tetapi kesaksamaan itu bukan dari segi akidah. Ini salah satu contoh bagaimana persepsi terhadap Islam yang agak menyeleweng," katanya.

Tambah beliau, gambaran Chong Eng terhadap ketiadaan peruntukan bagi sekolah jenis kebangsaan juga seolah-olah menggambarkan hanya kaum Cina yang telah didiskriminasi sedangkan sekolah agama rakyat juga mengalami masalah serupa.

Bagaimanapun Chong Eng menyambung dengan berkata, beliau setuju dengan Zulkifli tetapi ia boleh didebatkan secara aman di Parlimen bukannya dengan menggunakan kekerasan seperti mahu menghentikan forum Majlis Peguam.

Ekoran itu, Zulkifli sekali bangun dan dalam nada yang keras mahu Chong Eng menyatakan sikap beliau terhadap Majlis Peguam.

''Wanita tidak boleh lawan, minoriti pun tak boleh lawan jika guna keganasan, dalam sistem demokrasi berparlimen tidak boleh guna kekerasan walaupun saya tidak setuju pandangan," sambung Chong Eng.

Zulkifli berkata, beliau kesal kerana perhimpunan aman membantah forum pada 9 Ogos lalu telah digambarkan sebagai satu tindakan keganasan hanya semata- mata ia melibatkan orang Islam.

Menurutnya, mereka sebenarnya tidak menceroboh masuk ke dalam dewan ketika forum diadakan sebaliknya dijemput masuk dan bantahan dilakukan kerana Majlis Peguam tidak berhak membincangkan tentang Islam sedangkan sikap mereka terhadap Islam adalah jelas.

''Kita perlu melihat sikap Majlis Peguam sejak dulu lagi seperti pendirian mereka dalam isu berkaitan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), mereka mengambil sikap cuba menentang fahaman yang ada dalam Islam," katanya.

Dipetik dari: Utusan

No comments: