Friday, August 29, 2008

JANGAN RAMPAS MANDAT RAKYAT - PM

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menempelak percubaan pihak tertentu untuk menggugat kestabilan negara dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat.

Sambil menegaskan usaha itu perlu ditolak, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan sekali-kali membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti Barisan Nasional (BN) yang memenangi majoriti pilihan raya umum Mac lalu secara sah mengikut lunas demokrasi.
“Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan. Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada BN yang telah menang majoriti pilihan raya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi,’’ katanya dalam nada tegas ketika menutup ucapan Bajet 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

Mendengarkan peringatan Abdullah, para penyokong kerajaan bersorak dan memberikan tepukan meja manakala anggota Parlimen pembangkang termasuk Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sekadar tersenyum.

Anwar sebelum ini berulang kali menguar-uarkan yang kononnya 30 ahli Parlimen BN akan melompat keluar bagi membolehkan pakatan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan menjelang 16 September.

Dakwaan beliau itu bagaimanapun berulang kali juga disangkal oleh pemimpin BN termasuk yang terbaru menerusi sidang akhbar oleh 20 ahli Parlimen Sabah dan Sarawak semalam, bagi menyatakan taat setia kepada parti.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, dakyah pembangkang itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akan menimbulkan ketidakpastian dalam politik negara.
‘‘Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal,’’ katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN untuk melaksanakan tugas-tugas mentadbir negara.
‘‘Kita perlu meneruskan tugas mentadbir dan bukan membuang masa dengan ancaman-ancaman oportunis untuk merampas mandat rakyat menerusi cara yang tidak demokratik,’’ tegasnya.

Bagi Abdullah, kerajaan BN akan terus mentadbir ekonomi negara dengan penuh beramanah tanpa membuat janji-janji populis seperti dicanangkan oleh pembangkang yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan dan mewariskan negara yang muflis kepada generasi muda.

Menurutnya, pembentangan Bajet 2009 membuktikan sekali lagi yang kerajaan BN sentiasa mendengar rintihan rakyat dan bertindak meringankan beban mereka khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil menjurus kepada bantuan dan sokongan bagi memperbaiki kualiti hidup dan pada masa yang sama, memperkasakan seluruh rakyat untuk meningkatkan produktiviti.

‘‘Sesungguhnya kestabilan politik negara wajib dipelihara secara bersama. Badan-badan politik, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan media mempunyai tanggungjawab bersama membina sebuah negara yang aman, damai, teguh lagi bersatu.

‘‘Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara,’’ katanya.

Di akhir ucapannya, Perdana Menteri mengajak semua lapisan masyarakat termasuk yang berbeza fahaman politik supaya menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan dan kemakmuran demi membangunkan negara serta mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaannya.

No comments: