Thursday, May 8, 2008

TIDAK HALANG NAJIB JUMPA DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah menghalang timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak daripada berjumpa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata beliau tidak membuat tindakan sebegitu.

"Tak ada halangan...tak ada," katanya ringkas ketika ditanya mengenai laporan media yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata bahawa penggantinya, Abdullah telah menghalang perjumpaan beliau dengan Najib.

Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata bahawa adalah sesuatu yang teruk jika perdana menteri tidak percayakan timbalannya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak bercakap mengenainya sebelum ini kerana ia satu perkara peribadi tetapi memutuskan untuk mendedahkannya kerana semakin meningkat percubaan untuk menutup mulut mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed ke Thailand untuk membincangkan isu beras dan adakah ini bermakna simpanan beras dalam negara tidak mencukupi.

Beliau berkata kerajaan mengadakan stok penimbal beras pada masa sekarang sebagai persediaan kemungkinan harga naik pada masa depan.

Katanya mungkin juga pihak yang mengeksport tidak akan berbuat demikian pada masa depan kerana perlu memenuhi keperluan rakyat mereka sendiri.

"Nanti kalau tidak beli sekarang, mungkin harga naik pada masa depan.

Mungkin pihak pengeksport tidak mahu mengeksport lagi kerana mungkin perlukannya untuk rakyat sendiri," katanya.

Abdullah mahu Mustapa mengambil langkah segera agar stok penimbal mencukupi dan tidak berlaku kekurangan bahan makanan.

No comments: