Tuesday, May 20, 2008

TUN MAHATHIR KELUAR UMNO

oleh : Pemuda Malaysia

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah keluar daripada parti UMNO dan hanya akan mempertimbangkan kemasukan ke dalam UMNO jika Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti.

Tindakan ini dijangka akan memberi implikasi buruk kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga kepada negara. Saya berasa sedih dan terperanjat dengan tindakan yang diambil oleh Tun sendiri kerana ia adalah sesuatu tindakan yang saya rasakan tidak memberi keuntungan kepada UMNO dan BN.

Walaupun Tun tidak berpuas hati dengan cara Pak Lah dalam mengatasi sesuatu kemelut atau masalah, Tun tidak sepatutnya mengambil tindakan drastik dengan keluar daripada UMNO kerana dalam situasi politik hari ini, Tun sebagai seorang negarawan yang berpengalaman harus membantu Pak Lah dalam menghadapi cabaran dan dugaan daripada pelbagai sudut kerana pelantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri adalah atas pilihan Tun sendiri.

Sememangnya kita tidak boleh nafikan sumbangan Tun terhadap pembangunan dan kemajuan negara kerana selama 22 tahun pemerintahan Tun, Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan yang pesat dan kini Malaysia amat dikenali di mata dunia. Tindakan keluar parti ditakuti akan membuatkan para pelabur asing yang mempunyai pelaburan di Malaysia akan menarik pelaburan mereka kerana mungkin akan timbul rasa ketidakpercayaan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Selain daripada itu, masalah lain yang akan menimpa ialah timbulnya perpecahan di dalam UMNO kerana pengaruh Tun yang masih kuat di dalam parti dan dijangka akan menarik ahli-ahli UMNO yang lain untuk mengikut jejak langkah Tun keluar parti. Ini akan menyebabkan UMNO menjadi lemah dan mudah diserang oleh parti pembangkang yang akan gembira dan bertepuk tangan melihat UMNO menjadi lemah.

Saya amat mengagumi nilai kepimpinan dan hasil kerja keras Tun selama 22 tahun memerintah Malaysia dan apabila tiba giliran Pak Lah menjadi Perdana Menteri sepatutnya Tun memberi peluang kepada Pak Lah melaksanakan agenda kemajuan negara mengikut acuan beliau sendiri. Pertelingkahan yang wujud di antara Tun dan Pak Lah hanya akan mengakibatkan kehancuran parti UMNO serta BN amnya.

Sebagai ahli biasa, saya sentiasa berdiri teguh di belakang sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO kerana bukan takut untuk melawan tetapi pelaksanaan kekuatan dan agenda parti adalah menjadi keutamaan demi memastikan UMNO terus relevan sampai bila-bila.

No comments: