Wednesday, May 21, 2008

LAPORAN MEDIA BERTANGGUNGJAWAB SEIMBANG

oleh Pemuda Malaysia

Ketika Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek menggulung di Dewan Rakyat, MP Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zakarshi, telah menyelar MP pembangkang yang menuduh akhbar-akhbar nasional yang berat sebelah kepada kerajaan.

Dr Mohd Puad menjelaskan kepada Dewan bahawa beliau selalu membaca akhbar Harakah yang diterbitkan oleh parti PAS. Pada pemerhatian beliau, akhbar Harakah tidak pernah mengkritik kerajaan negeri Kelantan yang dilihat gagal dalam melaksanakan kemajuan untuk rakyat. Beliau menyatakan kekesalan terhadap MP pembangkang yang asyik menuduh akhbar-akhbar nasional menyebelahi kerajaan namun tidak pula mengkritik akhbar Harakah.

MP Batu Pahat menyatakan juga bahawa Malaysia adalah negara yang mengamalkan kebebasan media namun itu semua tidak akan bermakna jika pengamal media atau wartawan itu sendiri tidak bertanggungjawab terhadap sesuatu berita yang dipaparkan.

Pemerhati politik berpendapat tindakan MP pembangkang itu cuba menutup kelemahan mereka sendiri dengan membuat tuduhan kepada orang lain. Menurut mereka, MP pembangkang perlu sedar bahawa akhbar parti pembangkang juga "membelasah" kerajaan kiri dan kanan setiap masa seolah-olah apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak berfaedah untuk rakyat. Tindakan ini seolah-olah orang yang telah "menghisap madu, sepah dibuang" atau dalam ertikata lain mereka mendapat faedah daripada kerajaan tetapi mengutuk kerajaan apabila ingin menegakkan ideologi politik mereka.

Yang amat menghairankan ialah media pembangkang turut melindungi kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan seolah-olah baik dan terpuji sedangkan ia membabitkan moral yang tidak baik termasuk dilihat tidak bersih seperti penangkapan khalwat.

No comments: