KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Istilah 'licence to kill' yang membawa maksud kebenaran untuk membunuh disebut oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mencetuskan rasa tidak puas hati apabila wakil rakyat pembangkang mendesak ungkapan itu ditarik balik kerana beranggapan ia memberi implikasi buruk kepada profesion doktor.
Kekecohan dalam dewan bermula apabila Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) bangun membantah penggunaan istilah itu yang dianggapnya memberi gambaran seolah-olah doktor mempunyai lesen untuk membunuh manakala Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) meminta Abdul Latiff menarik balik perkataan itu.
Keadaan dewan yang bertambah gamat memaksa Yang Dipertua Tan Sri Pandikar Amin Mulia menenangkan keadaan dan meminta Abdul Latif membuat penjelasan.
Abdul Latiff berkata beliau tidak bermaksud untuk merujuk istilah itu bahawa doktor mempunyai lesen membunuh sebaliknya ia menggambarkan kegagalan atau pun kecuaian oleh sesetengah doktor.
"Sebenarnya pembangkang yang sering bersikap negatif...kalau pihak pembangkang merasakan mereka mempunyai lesen itu untuk membunuh, terpulanglah," katanya.
Sebelum itu Abdul Latiff menyebut istilah "licience to kill" dan "licience to heal" semasa menjawab soalan Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) mengenai masalah kekurangan doktor yang berkhidmat di hospital dan klinik luar bandar di Sarawak.
Bagaimanapun wakil pembangkang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Abdul Latiff dan mendesak beliau menarik balik kenyataan itu.
Abdul Latiff bangun menjelaskan yang beliau langsung tidak mempunyai niat jahat semasa menyuarakan istilah itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Keadaan bertambah gamat apabila Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bangun mencelah dan berkata istilah itu tidak bersesuaian sama sekali untuk menggambarkan kecuaian oleh doktor.
Walaupun pada awalnya Abdul Latiff enggan menurut saranan pembangkang tetapi apabila diminta oleh Pandikar Amin dan memandangkan keadaan semakin kecoh dan berlarutan hampir 20 minit, Abdul Latiff akhirnya bersetuju menarik balik penggunaan istilah "licience to kill" itu.
Monday, May 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment