Tuesday, May 20, 2008

DR RAIS : TINDAKAN DR MAHATHIR MENGEJUTKAN

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 19 Mei (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Rais Yatim berkata tindakan Dr. Mahathir keluar dari UMNO satu perkembangan mengejutkan walaupun sesetengah pihak sedia menjangkakan perkembangan tertentu seperti ini beberapa hari lepas.

"Saya rasa ini berlaku agak pantas," katanya kepada pemberita sebelum berlepas pulang setelah menghadiri Mesyurat Khas Menteri-menteri Luar ASEAN di sini hari Isnin.

Rais berkata beliau dapat memahami sentimen Dr. Mahathir terutama dalam tempoh perkembangan politik negara yang penuh ujian dalam dua tahun lepas.

Menteri Luar itu berkata apa yang penting sekarang ialah bagi UMNO menoleh ke belakang dan mencari kekuatannya sendiri setelah bekas presidennya dan bekas perdana menteri meninggalkan perjuangan.

"Tetapi saya percaya jauh di lubuk hati, Tun Dr. Mahathir masih cintakan parti ini," kata Rais, dan menambah mungkin niat tersirat beliau meninggalkan UMNO belum dijelaskan sepenuhnya dan beliau harus diberikan hak untuk didengar.

Rais berkata anggota-anggota UMNO hendaklah bertenang, walaupun bagi sesetengah kumpulan, ini petanda bagi mereka turut meninggalkan parti.

Dengan menyatakan tidak mudah bagi seseorang membuat Dr. Mahathir menarik balik keputusannya, Rais berkata beliau berharap selepas ini Dr. Mahathir tidak akan terus mengganggu UMNO dan memusnahkan perjuangannya.

Rais berkata parti itu mesti menyusun semula dirinya dan tidaklah memadai hanya menggesa Dr. Mahathir berhenti mengkritik parti itu.

Sambil menyatakan tempoh beberapa minggu akan datang adalah genting buat UMNO oleh kerana belum pasti berapa ramai dari anggotanya akan mengikuti jejak langkah Dr. Mahathir, Rais berkata pucuk pimpinan UMNO mesti bertindak segera dan secara sistematik supaya parti tidak berpecah.

Beliau berkata adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang berpendapat tindakan Dr. Mahathir keluar parti tidak mengapa dan "urusan berjalan seperti biasa".

No comments: