Sunday, May 18, 2008

MALAYSIA DESTINASI PELABURAN TERBAIK

Daripada Abdul Muin Abdul Majid

SHARM EL SHEIKH (Mesir), 18 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari Ahad memberikan penjelasan panjang lebar dalam usaha meyakinkan para wakil Majlis Perniagaan Arab dan beberapa orang anggota Kongres Amerika Syarikat mengenai daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi perniagaan dan pelaburan.

Ketika bercakap kepada para pemberita mengenai hasil mesyuarat bersama antara pihak-pihak berkenaan, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengambil peluang itu untuk menjelaskan mengenai perkembangan ekonomi Malaysia, yang termasuk kedudukan kewangan kukuhnya dan kenyataan bahawa ia telah terlepas dari kesan buruk krisis gadai janji subprima di AS.

"Kami menawarkan peluang melalui koridor pembangunan ekonomi kami, wujud potensi dalam pasaran hartanah mewah kami, kami juga merupakan peneraju dalam kewangan Islam dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk menggalakkan industri halal.

"Selain itu, kami menawarkan peluang dalam sektor pengeluaran dan industri teknologi tinggi," kata Najib, yang telah mempengerusikan mesyuarat itu yang diadakan di luar sidang Forum Ekonomi Dunia mengenai Timur Tengah yang bermula Ahad di bandaraya peranginan Mesir ini yang terletak di tepi pantai Laut Merah.

Delegasi majlis perniagaan itu yang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bank Negara Kuwait Ibrahim Dabdoub, Mohammed Al Gergawi yang mewakili Dubai Holding, Pengerusi Kumpulan Alshaya dari Kuwait Mohammed Alshaya.

Wakil Kongres AS ialah dari Washington, California, Oregon, Tennessee dan Connecticut.

Menurut Najib, mereka yang hadir sangat berminat mengenai apa yang boleh ditawarkan Malaysia, di mana sesetengah wakil AS telah melahirkan hasrat untuk melakukan lawatan susulan ke Malaysia.

"Anggota Majlis Perniagaan Arab menyedari mengenai apa yang boleh ditawarkan Malaysia dan saya percaya kita akan terus meningkatkan hubungan ekonomi dengan mereka," katanya.

Najib berkata mereka menghargai mengenai langkah Malaysia memberi gambaran positif mengenai Islam dan kejayaan yang dicapai oleh wanita di negara itu.

No comments: