Monday, May 26, 2008

DS AZMI KHALID JADI PENGERUSI PAC



KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini melantik Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Seri Azmi Khalid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi penggal Parlimen ke-12.

Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw dari DAP pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mencadangkan usul bagi pelantikan itu berkata pemilihan Azmi sebagai pengerusi PAC tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan mesyuarat walaupun beliau pernah menjadi menteri dalam kabinet sebelum ini.

"Ini pernah berlaku. Sebelum ini wakil dari Johor Baharu (Datuk Shahrir Samad) yang dulu pernah menjadi menteri menjawat jawatan pengerusi PAC sebelum ini dan beliau menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Nazri berkata Azmi dilantik berdasarkan pengalaman beliau sebagai menteri manakala Tan pula memang dihormati kerana sudah menjadi wakil rakyat sejak tujuh penggal lepas .

Dewan menolak usul daripada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) supaya jawatan pengerusi PAC diberikan kepada Tan dan timbalan kepada Azmi.

No comments: