Thursday, May 22, 2008

MT HARAP TUN KEMBALI KEPADA UMO

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Umno berharap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat kembali kepada Umno suatu hari nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mesyuarat itu telah mengambil maklum bahawa Dr Mahathir telah mengutus surat secara rasmi untuk keluar parti.

"Saya bersedia menemui Tun pada bila-bila masa tetapi kini kita tahu pendirian dan kedudukan beliau. Jadi kita biarkan begitu buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam yang dipengerusikan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu malam.

Isnin lepas, Dr Mahathir mengumumkan keputusannya untuk keluar parti kerana beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang didakwanya gagal membela nasib orang Melayu di negara ini, dalam satu majlis politik di Alor Star, Kedah.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata mesyuarat khas itu turut membincangkan rangka pelan pemulihan politik Umno yang akan dijadikan landasan untuk bergerak dengan bersungguh-sungguh bagi memperkasakan parti serta mengembalikan kepercayaan anggota parti dan rakyat.

Selain itu, Najib berkata MT juga memutuskan untuk terus memberi sokongan kepada Abdullah untuk terus memimpin dan mengembalikan keyakinan anggota parti. Berhubung dakwaan terdapat anggota lain yang mengikut jejak Dr Mahathir keluar parti, Najib berkata setakat ini Umno belum menerima surat lain.

Ketika ditanya apakah MT ada membincangkan soal peralihan kuasa antara beliau dengan Abdullah, Najib menjawab,"tak ada dibincangkan, itu antara saya dengan Perdana Menteri."

Mengulas mengenai pendirian MT terhadap anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dikatakan tidak menghormati Presiden parti, beliau berkata MT juga tidak membincangkan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Pergerakan Pemuda.

"Perkara itu tidak dibincangkan hari ini. Kita akan dibimbing oleh Exco Pemuda," katanya.

Beliau berkata MT masih yakin dan percaya anggota parti amat setia kepada Umno dan akan terus kekal dalam Umno dan sekiranya ada masalah, perkara itu akan diselesaikan di dalam parti.

No comments: