Friday, May 23, 2008

PARLIMEN BUKAN TEMPAT TUNJUK LAGAK

Oleh Ana Pouriz (Ampang, Selangor)

SAYA merasa cukup terganggu dan meluat melihat gelagat sebilangan ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan NGO Hindraf menjadikan lobi Parlimen sebagai tempat menunjuk lagak dan sikap angkuh.

Mereka tidak mempedulikan peraturan menggunakan lobi Parlimen demi mendapatkan publisiti murahan. Apa perlunya membuat sambutan hari jadi yang langsung tidak berkaitan dengan mana-mana ahli Parlimen atau orang awam.

Ternyata ada segelintir ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang baru setahun jagung itu perlu lebih matang berpolitik, perlu lebih serius dan tidak bersikap mengada-ngada. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memperlekehkan kedudukan Parlimen.

Sebagai pemimpin, mereka juga tidak seharusnya menjadikan Parlimen sebagai medan untuk membuat gimik politik dengan membawa sesiapa sahaja sesuka hati. Mereka lupa mandat pengundi untuk memperjuangkan nasib rakyat, bukannya mengadakan aktiviti yang tidak tentu arah.

Saya mengesyorkan supaya petugas di Parlimen mengetatkan kawalan, peraturan dan penguatkuasaan. Jangan benarkan sesiapa yang tidak berkenaan mencemari Parlimen dengan ‘lawak bodoh’ atau apa-apa juga perbuatan yang menjelikkan.

Jangan sampai rakyat rasa tertipu dan tersalah pilih orang yang tidak layak sebagai pemimpin.

(SUMBER : SURAT PEMBACA UTUSAN MALAYSIA)

No comments: