PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Kesungguhan dan perpaduan rakyat Malaysia dalam menolak sifat-sifat melampau dan mahukan keamanan dan kesejahteraan telah membawa kejayaan kepada negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Wesak 2008 yang disambut oleh penganut Buddha esok, Perdana Menteri berkata, "Malaysia sesungguhnya sebuah negara bertuah kerana rakyat kita yang berbilang bangsa dan agama dapat hidup aman dan damai selama ini".
Menurut Abdullah pencapaian ini bukanlah sesuatu yang boleh diperkecil-kecilkan apabila "kita merenung mengenai kekacauan dan kesengsaraan yang dialami oleh sesetengah negara yang berpunca daripada konflik agama atau etnik".
Abdullah juga berkata, kerajaan sering mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pelbagai agama di negara ini untuk memahami pelbagai masalah dan keperluan.
Sesi perbincangan ini, kata Perdana Menteri, juga mengeratkan perhubungan dan meningkatkan kesefahaman di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
"Saya amat berharap melalui pendekatan ini kita dapat menyelesaikan isu atau masalah secara damai dan penuh semangat setia kawan".
"Saya percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika kita mengamalkan sifat kesederhanaan, bertolak ansur dan saling menghormati," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment