Wednesday, May 21, 2008

JKKK TIDAK PECAH-BELAHKAN MASYARAKAT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam peletakan jawatan ketua kampung dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PKR).

Beliau berkata kerajaan persekutuan juga tidak terlibat dengan pembayaran elaun dan gaji ketua kampung di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kerana ia di bawah urusan kerajaan negeri.

"Urusan pembayaran elaun ketua kampung atau ketua kaum dibuat secara bulanan oleh kerajaan negeri dua kali setahun, bagaimanapun kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bertanggungjawab menguruskan pembayaran elaun ketua kampung di negeri mereka," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Dalam pada itu Muhammad turut menafikan tindakan kerajaan mewujudkan JKKK Persekutuan (JKKKP) memecah belahkan masyarakat, sebaliknya berkata tindakan menubuhkan JKKKP peringkat kampung bertujuan untuk melicinkan perancangan dan pelaksanaan projek di bawah kerajaan persekutuan di kampung-kampung.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mempersoalkan langkah kerajaan mewujudkan JKKK Persekutuan (JKKKP) kerana ia dilihat seperti memecah belahkan perpaduan rakyat.

"Mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan untuk memecah belahkan perpaduan rakyat dengan pembentukan JKKK yang baru, bukankah Umno bertanggungjawab untuk menyatukan rakyat," katanya.

Kenyataan Mohamed Azmin itu mendapat reaksi daripada kebanyakan Anggota Parlimen khususnya pembangkang yang ingin meminta penjelasan sehingga ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana tindakan itu akan memanjangkan masa penggulungan memandangkan banyak lagi kementerian yang menunggu giliran.

Muhammad berkata tindakan kerajaan mewujudkan JKKKP peringkat kampung bertujuan untuk melicinkan perancangan dan pelaksanaan projek-projek di bawah kerajaan persekutuan di kampung-kampung.

Beliau berkata ketua kampung merupakan orang yang paling penting di peringkat bawah dan tindakan mereka meletakkan jawatan akan menyukarkan kementerian untuk berhubung dengan mereka bagi mengetahui permasalahan penduduk kampung.

"Mereka banyak berjasa bagi pembangunan kawasan luar bandar dan kampung-kampung, mereka tidak akan sewenang-wenangnya hendak berhenti jadi kementerian mengambil keputusan untuk melantik mereka di dalam kementerian untuk terus memberi kerjasama kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata menjelang tahun 2010, kementerian mensasarkan 100 peratus kawasan radius sejauh 30 kilometer dari bandar dan pekan di luar bandar akan diliputi kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

No comments: