Sunday, May 25, 2008

JANGAN TERLALU GHAIRAH - RAFIDAH

Oleh ZAMZURINA AHMAD (UTUSAN MALAYSIA)

ALOR STAR 24 Mei - Ahli-ahli Puteri UMNO yang menyertai Wanita UMNO dinasihatkan tidak terlalu ghairah untuk bertanding jawatan tertinggi di bahagian-bahagian khususnya jawatan Ketua Wanita.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz sebaliknya menyarankan mereka bertanding di peringkat ahli jawatankuasa terlebih dahulu.

''Kalau nak bertanding pun, bertandinglah untuk ahli jawatankuasa kerana ia melibatkan bilangan yang ramai.

''Malah, bagi ketua-ketua Wanita UMNO bahagian pula, ambil ahli-ahli Puteri yang menyertai Wanita ini sebagai jawatankuasa tambahan supaya sekurang-kurangnya kita akan mendapat input daripada anak-anak muda ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Gerak Kerja Bersama Pergerakan Wanita UMNO Kedah di Dewan Syed Nahar, ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.

Menurut Rafidah, keghairahan mereka untuk bertanding boleh menimbulkan masalah kepada parti kerana perpecahan di peringkat bahagian akan berlaku berikutan masing-masing ingin memilih calon mereka.

Beliau tidak mahu bahagian-bahagian UMNO berpuak-puak kerana ia hanya akan melemahkan parti.

''UMNO sebagai sebuah parti dan UMNO juga adalah kerajaan, maka wajar kita kurangkan masalah di peringkat akar umbi.

''Kita tidak mahu wujudnya gejala negatif seperti sogokan, fitnah dan tuduhan yang berkait-kait dengan orang di sekeliling dengan tujuan menjatuhkan lawan.

''Dengan ini akan lahirlah 'orang awak dan orang saya'. UMNO tidak perlu 'orang awak atau orang saya' tetapi UMNO hanya perlukan orang UMNO," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kedah, Datin Salmah Mat Isa berkata, Wanita UMNO Kedah mahu penjawat jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO dikekalkan pada pemilihan parti akan datang.

Menurutnya, Rafidah dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu dikekalkan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam pergerakan itu.

No comments: