Thursday, May 8, 2008

JANGAN POLEMIKKAN ISTILAH KETUANAN MELAYU

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Semua pihak diminta tidak terlalu sensitif terhadap istilah ketuanan Melayu sebaliknya mereka harus melihat perkara itu secara positif dari sudut sejarah dan perlembagaan negara.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata ketuanan Melayu tidak bermakna kaum Melayu adalah tuan dan bukan Melayu adalah hamba.

"Jangan kita mempolitikkan (isu ini) sehingga sampai ke peringkat timbul polemik baru," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari Khamis ketika memberi reaksi kepada kenyataan Menteri Pengangkutan yang juga Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat mengenai makna istilah ketuanan Melayu.

Ong hari ini dilaporkan berkata istilah ketuanan Melayu itu memberikan persepsi seolah-olah kaum Melayu adalah tuan dan bukan Melayu adalah hamba.

"Tak perlu sensitif bila ada sebut pasal ketuanan Melayu," kata Ahmad Shabery, yang juga anggota Parlimen Kemaman.

Beliau berkata semua pihak perlu merujuk kepada sejarah bahawa negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-raja Melayu, yang merupakan tuan kepada tanah Melayu yang sudi memberikan kuasa mereka kepada rakyat melalui penerimaan sistem Raja Berperlembagaan.

"Kita dah ubah dari sistem Raja Mutlak kepada Raja Berperlembagaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata mengikut perlembagaan negara, Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini, seperti mana di negara-negara barat lain yang mempunyai Raja.

"Queen of England juga mesti berasal daripada keturunan Queen of England," katanya.

Ahmad Shabery berkata Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan juga ada menyebut tentang imuniti dan kekebalan Sultan dan Raja-Raja Melayu, iaitu terjemahan kepada simbol istilah ketuanan Melayu itu.

No comments: