Saturday, May 17, 2008

KETERBUKAAN PENGALIRAN MAKLUMAT HAK MASYARAKAT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengakui keterbukaan dalam penyaluran maklumat kepada masyarakat tidak boleh dikawal kerana ia adalah hak mereka.

Beliau berkata keterbukaan dalam penyaluran maklumat umpama makanan yang menjadi hak kepada semua untuk menikmatinya.

"Jika disekat maka mereka akan menjadi gelojoh menyebabkan semua benda nak makan yang boleh memberi kesan buruk pada kesihatan. Makanan juga ada yang baik dan buruk, jadi masyarakat perlu menilainya demi untuk kesejahteraan hidup," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum "Cabaran Baru Mengurus Media dan Maklumat di Malaysia" di sini hari Sabtu.

Beliau berkata dalam konteks perkembangan teknologi maklumat sekarang, keterbukaan itu tidak perlu ditakuti kerana media yang bebas tidak semestinya memberi kesan buruk terhadap sesebuah parti atau pemerintah.

"Misalnya di Sabah, akhbar mereka lebih bebas tetapi parti yang memimpin masih memenangi banyak kerusi pada pilihan raya baru-baru ini," kata Ahmad Shabery yang mengingatkan tentang kemungkinan perlunya sikap keterbukaan itu dilaksanakan secara beransur-ansur agar masyarakat tidak mengalami kejutan.

No comments: